Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Peniaga sate di negeri ini berdepan kesulitan untuk berniaga susulan masalah bekalan gula yang terputus sejak 1 Syawal lalu.

Disebabkan masalah berkenaan, ramai di kalangan mereka terpaksa menutup premis sementara sehingga bekalan gula kembali pulih.

Malah, ada di kalangan mereka terpaksa mencari bekalan gula di merata tempat sehinggakan mengerah seluruh ahli keluarga untuk mencari gula.

Peniaga sate, Rohana Abdullah, 40, berkata dia sepatutnya sudah membuka kedai seperti biasa memandangkan hari ini sudah masuk Syawal ke-11.

"Kebiasaannya pada hari raya keempat, saya kembali berniaga namun disebabkan bekalan gula yang terputus, saya terpaksa menangguhkan operasi terlebih dahulu.

"Sekiranya membuka kedai, saya perlu 50 kilogram (kg) gula sehari, itu belum kira tempahan lain dan masalah (bekalan gula terputus) yang berlaku ini adalah paling teruk.

"Saya kini hanya memberi tumpuan untuk menyiapkan tempahan sahaja kerana sudah berjanji dengan pembeli," katanya ketika ditemui di Kampung Baung, di sini.

Rohana yang sudah lebih 20 tahun berniaga sate berkata, untuk menyiapkan tempahan, dia terpaksa bersusah-payah mencari gula di merata tempat.

"Saya dan anak-anak terpaksa berpecah ke sana-sini memandangkan ada tempat menjual gula pun, mereka mengehadkan pembelian sekitar 2kg hingga 5kg sahaja.

"Untuk kelmarin, saya berjaya membeli tiga guni iaitu 150kg gula dengan setiap kg berharga RM3.50 iaitu sedikit mahal berbanding paket 1kg hanya RM3.

"Namun, bekalan itu hanya mampu menampung keperluan hari ini sahaja sedangkan esok saya perlu menyiapkan 5,000 cucuk sate untuk tempahan," katanya.

Katanya, ramai peniaga sate tidak boleh membuka kedai disebabkan masalah itu selain ada yang datang ke rumahnya untuk membeli gula kerana mereka tahu dia mendapat bekalan tiga guni gula.

"Malah, ada peniaga kedai makan juga datang ke rumah meminta untuk membeli gula, sedangkan saya sendiri pun perlu mencari bekalan," katanya.

Peniaga sate lain, Bidah Muhammad, 55, yang berniaga di Pengkalan Chepa berkata, dia memerlukan 48 kg gula setiap hari.

"Jangan kata buka kedai, saya kini hanya mahu menyiapkan tempahan sahaja yang diterima sejak akhir Ramadan lalu.

"Untuk menghasilkan sate, saya memerlukan gula yang banyak dan sekiranya gula kurang, ia boleh menjejaskan kualiti sate," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 12:56 PM
Peniaga sate di Kampung Baung, Rohana Abdullah, 40, terpaksa menggunakan bekalan gula yang dijual 50kg seguni untuk memenuhi tempahan satay daripada pelanggannya walaupun harganya lebih mahal berbanding gula dalam paket 1kg. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Peniaga sate di Kampung Baung, Rohana Abdullah, 40, terpaksa menggunakan bekalan gula yang dijual 50kg seguni untuk memenuhi tempahan satay daripada pelanggannya walaupun harganya lebih mahal berbanding gula dalam paket 1kg. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR