FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Labuan: Sudah lebih seminggu penduduk di pulau bebas cukai ini berdepan masalah kekurangan bekalan gula kritikal.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup cawangan Labuan bagaimanapun memaklumkan 9,800 kilogram (kg) gula sudah dihantar oleh pemborong di Sabah iaitu Chung Kwong, Sandakan dan Keluarga Timur Kota Kinabalu pagi semalam.

Pengarahnya Junaidah Arbain berkata, bekalan tambahan dijangka tiba dalam beberapa hari akan datang.

"Dalam tempoh satu atau dua hari, tambahan 10,000kg dijangka dihantar dari Sabah, dengan satu lagi penghantaran 118,800kg dijangka dilakukan pada minggu berikutnya," katanya.

Kekurangan bekalan gula yang berlarutan menyebabkan kekecewaan dalam kalangan pengguna, pengusaha restoran dan pemilik kedai makanan dan kedai bakeri.

Ramai meluahkan rasa tidak puas hati mereka di platform media sosial dan menujukkan kemarahan mereka kepada Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman yang kemudiannya merujuk aduan itu kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Perniagaan terjejas dengan beberapa peniaga terpaksa menutup operasi sementara disebabkan oleh kekurangan bekalan gula.

Omar Ali yang juga pemilik kedai bakeri di Kampung Sungai Bedaun, merungut, kami bergantung kepada gula untuk kedai bakeri kami...terpaksa menutup operasi perniagaan untuk beberapa hari."

Pengusaha restoran juga berkongsi kesusahan mereka dengan menyatakan bahawa mereka terhad untuk menawarkan hanya minuman sejuk dan tin kepada pelanggan semasa kekurangan ini.

Kelmarin, Armizan dalam kenyataannya berkata, masalah kekurangan bekalan gula di Labuan dijangka selesai dengan kemasukan bekalan sebanyak 118.8 metrik tan dari Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Katanya, faktor kedudukan Labuan yang jauh dari lokasi punca bekalan gula menjadi isu utama hingga memberi kesan yang serius dalam rantaian penghantaran bekalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 7:01 AM