ANTARA gerai makanan dan minuman di Tanjung Dawai yang tidak dapat beroperasi berikutan sukar mendapatkan  bekalan gula. FOTO Noorazura Abdul Rahman
ANTARA gerai makanan dan minuman di Tanjung Dawai yang tidak dapat beroperasi berikutan sukar mendapatkan bekalan gula. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Kira-kira 40 peniaga makanan dan minuman di persisiran pantai Tanjung Dawai di sini terjejas selepas ada di antara mereka terpaksa menutup gerai berikutan sukar mendapatkan bekalan gula sejak akhir-akhir ini.

Setiausaha Peniaga-peniaga Kecil Malaysia, Hafisah Hanafiah berkata, lebih separuh daripada 40 peniaga kedai makan di situ tidak dapat beroperasi selepas sukar mendapatkan bekalan gula lebih seminggu lalu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan peniaga hilang sumber pendapatan dan perlu mencari alternatif bagi menampung kehidupan.

"Sebelum ini, masalah bekalan minyak. Kini peniaga baru hendak 'bernyawa', timbul pula isu gula.

"Kalau lihat situasi di Tanjung Dawai ini, ada peniaga yang terpaksa menutup kedai sebab tiada gula. Bagi yang bergantung pendapatan dengan berniaga, mereka buka kedai tapi terpaksa menjual semua minuman yang dicampur dengan susu pekat manis," katanya.

Hafisah berkata pihak yang berwajib perlu segera turun padang agar gangguan bekalan gula di kawasan itu dapat segera diatasi.

Sementara itu, peniaga Hasnah Che Ani, 43, berkata, dia terpaksa keluar sejauh 20 kilometer ke Sungai Petani untuk mendapatkan bekalan gula dengan harga yang lebih tinggi.

"Sebelum ini harga gula 2.85 sekilogram tapi sekarang ada kedai yang jual dengan harga RM3.80 sekilogram dan ia terhad dua kilogram (kg) setiap seorang.

"Dua minggu dah kami tak jual air yang bergula macam teh o ais, limau ais. Semuanya air yang bersusu sahaja," katanya.

Seorang lagi peniaga, Junaidah Zakaria, 44, berkata, dia terpaksa mengurangkan jualan air balangnya daripada tujuh kepada empat balang sahaja kerana kekurangan gula.

Katanya, dia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa berniaga dalam kekurangan demi kelangsungan hidup.

"Selalunya kami buat jualan air sehingga enam atau tujuh balang tetapi disebabkan gula susah dapat, kami kurangkan kepada empat balang sahaja. Itu pun dua balang air bersusu," katanya.

Bagi peniaga air, Fazilah Abdullah,55, pula, dia terpaksa menaikkan harga minuman yang dijual.

"Saya kurangkan jualan air bergula tetapi pelanggan masih minta kopi o, teh o, saya terpaksa jual juga.

"Tetapi terpaksa naikkan harga sikit sebab gula kita beli pun dekat RM4 dah sekilogram," katanya.

Semalam, Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mendakwa masalah bekalan gula di negeri ini lebih teruk berbanding minggu lalu sehingga menyebabkan ada peniaga makanan terpaksa menutup kedai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 12:38 PM