Noorazura Abdul Rahman


Jitra: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan pembinaan Masjid Changlun, di sini ternyata sangat menggembirakan jemaah di kawasan itu selepas pembinaannya tergendala lebih tiga tahun lalu.

Seorang penduduk, Zul Hasan, 68, berkata masjid yang dipercayai berusia 100 tahun itu sememangnya memerlukan ruang solat lebih luas berikutan penambahan penduduk Changlun yang semakin ramai.

"Dulu buat kali pertama saya menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Changlun ketika berusia lapan tahun. Sejak itu saya sudah biasa ke sini sehinggalah hari ini.

"Saya difahamkan masjid lama ini sudah wujud lama sebelum saya dilahirkan mungkin pada awal 1900-an , dengan pengumuman Perdana Menteri semalam, jemaah di sini akan dapat solat dengan ruang yang lebih luas, "katanya ketika ditemui di masjid berkenaan yang turut dikenali sebagai Masjid Ihya Ulumuddin.

Zul berkata dia sangat berharap masjid lama itu dapat dikekalkan sebagai tapak warisan kerana tempatnya yang istimewa di hati penduduk setempat di Changlun.

Timbalan pengerusi masjid berkenaan, Zainol Abidin Mohamad, 64, berkata perancangan pembinaan masjid baharu itu sudah pun dibuat pada Februari 2018.

Bagaimanapun, pembinaan yang dirancang semasa pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tergendala pada 2020 akibat pandemik Covid-19.

"Terdapat banyak isu berkaitan pembinaan masjid baharu ini, termasuk pemindahan tanah perkuburan masjid dan proses pengambilan tanah.

"Apabila pandemik, ia menyebabkan kita kekurangan tenaga buruh serta harga bahan binaan melambung tinggi, selepas itu projek ini terpaksa dihentikan, "katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pembinaan masjid itu dengan tambahan peruntukan sebanyak RM3.07 juta menjadikan keseluruhan kos pembinaan berjumlah RM5.77 juta.

Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan dengan kadar segera sekali gus dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat untuk mengimarahkan masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 4:40 PM