AL-SULTAN Abdullah berkenan menyempurnakan perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah di Kampung Sungai Bedaun, Labuan hari ini. FOTO Bernama.
AL-SULTAN Abdullah berkenan menyempurnakan perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah di Kampung Sungai Bedaun, Labuan hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Labuan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Masjid Al-Sultan Abdullah di Kampung Sungai Bedaun di sini, hari ini.

Baginda tiba di masjid itu pada 12.15 tengah hari dan disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Turut hadir Senator Datuk Seri Anifah Aman, Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman dan pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan.

Hampir 1,000 penduduk kampung berkumpul seawal 11.30 pagi untuk menyaksikan detik bersejarah perasmian masjid itu.

Al-Sultan Abdullah kemudian menuju ke ruang solat utama untuk menunaikan solat sunat tahiyatul masjid sebelum menyertai jemaah lain menunaikan solat Jumaat.

Baginda sedang dalam rangka lawatan tiga hari ke Wilayah Persekutuan itu bermula hari ini hingga 2 April.

Projek pembinaan masjid bernilai RM8 juta itu di atas tanah seluas 2.56 hektar yang dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimulakan pada 5 Mac 2019.

Dewan solat masjid itu boleh menampung hingga 1,500 jemaah untuk menunaikan solat pada satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 2:50 PM