KHAIRUDDIN beramah mesra dengan ahli kariah Masjid Kampung Felda Belara, semalam. FOTO ihsan pembaca
KHAIRUDDIN beramah mesra dengan ahli kariah Masjid Kampung Felda Belara, semalam. FOTO ihsan pembaca

Kuala Terengganu: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan Masjid Felda Belara yang baharu, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju menyalurkan dana berkenaan bagi menampung pertambahan jumlah jemaah di kawasan berkenaan.

"Saya menyampaikan hasrat ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas ahli kariah bertemu dengan saya sebelum ini bagi mengemukakan permohonan untuk membina masjid baharu, Alhamdulillah beliau memberikan reaksi yang amat positif.

"Jadi sukacita saya umumkan bahawa kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan masjid baharu," katanya di Kampung Felda Belara, Kuala Nerus di sini semalam.

Beliau sebelum itu bersama menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Khairuddin berkata, usaha segera dilakukan oleh pihaknya selepas menerima permohonan berkenaan memandangkan masjid yang sedia ada hanya mampu menampung seramai 500 jemaah saja.

"Saya mencuba sedaya-upaya untuk membantu bagi merealisasikan hasrat rakyat di kampung ini apatah lagi masjid adalah simbol kekuatan syiar Islam," katanya.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana merealisasikan hasrat penduduk kampung berkenaan.

"Penduduk kampung ini turut bersyukur di atas keprihatinan kerajaan atas permintaan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 10:16 PM