KEADAAN dua kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan UMS, dekat University Apartment (UA1), Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Bomba.
KEADAAN dua kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan UMS, dekat University Apartment (UA1), Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Bomba.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua maut, seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan UMS, dekat University Apartment (UA1), di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa Herman Abdullah, 20, yang memandu Proton Wira Aeroback bersama penumpang wanita yang belum dikenal pasti identitinya meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 34 tahun parah dan dihantar ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima maklumat pada 10.48 pagi dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikerah ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua kereta iaitu Proton Saga dan Proton Wira Aeroback.

"Dua mangsa tersepit dalam Proton Wira Aeroback dan dikeluarkan oleh pasukan bomba. Kedua-dua mangsa disahkan sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu Proton Saga yang tersepit parah dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Likas.

"Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

"Anggota bomba turut melakukan pembersihan serpihan kaca di lokasi dan operasi tamat jam 12.20 tengah hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 2:43 PM