ALIRAN trafik tinggi dan perlahan dari Genting Sempah ke Gombak. FOTO Ihsan LLM.
ALIRAN trafik tinggi dan perlahan dari Genting Sempah ke Gombak. FOTO Ihsan LLM.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Aliran trafik masih tinggi dan dilaporkan bergerak perlahan di lebuh raya utama setakat jam 9.10 malam ini berikutan pertambahan kenderaan sempena hari kedua sambutan Aidilfitri selain cuaca mendung.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi berkata, trafik bergerak perlahan Plus arah utara Bidor ke Tapah, Tapah ke Simpang Pulai, Ipoh (U) ke Bukit Gantang, Bukit Merah ke Bandar Cassia dan Bukit Tambun ke Juru.

"Trafik juga perlahan arah utara dari Yong Peng ke Pagoh, Hentian Tangkak (NB) ke Tangkak, Jasin ke Ayer Keroh, OBR Ayer Keroh ke Simpang Ampat dan Pedas Linggi ke Seremban," katanya.

Katanya, trafik juga bergerak perlahan arah selatan membabitkan Jitra (S) ke Hutan Kampung, Kubang Pasu ke Gurun, Gurun ke Sungai Petani (U), Permatang Pauh ke Perai, Changkat Jering ke Terowong Menora dan Sungkai ke Slim River.

Selain itu, katanya, trafik turut perlahan arah ibu negara di Lebuhraya KL-Karak di laluan antara Genting Sempah ke Gombak.

"Pastikan baki kad dan TnG e-Wallet mencukupi sebelum memasuki lebuh raya bagi mengelakkan bertambah sesak.

"Tol percuma hanya akan kembali pada 24 April 2023," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 10:15 PM