ANGGOTA bomba mencari warga Indonesia yang didakwa disambar buaya di Sungai Bilat, Kuala Baram, Miri. FOTO Ihsan bomba
ANGGOTA bomba mencari warga Indonesia yang didakwa disambar buaya di Sungai Bilat, Kuala Baram, Miri. FOTO Ihsan bomba
Mohd Roji Kawi

Miri: Seorang pekerja kilang papan lapis di Kuala Baram di sini hilang selepas didakwa disambar buaya di Sungai Bilat, Selasa lalu.

Bagaimanapun kehilangan Muhammad Syopyan Nasution, warga Indonesia berusia lingkungan 20-an itu hanya dilaporkan kepada polis, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.10 petang tadi.

Beliau berkata, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dikerah ke lokasi untuk melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima maklumat itu.

"Setibanya di lokasi, saksi kejadian mengesahkan mangsa hilang dipercayai di baham buaya kira-kira jam 9 malam, Selasa lalu.

"Rakan-rakan mangsa tidak melaporkan kejadian itu kepada polis kerana mereka mahu mencarinya, namun selepas gagal, baru mereka membuat laporan polis, hari ini," katanya.

Berdasarkan laporan di Balai Polis Lutong yang dibuat rakannya yang hanya dikenali sebagai Badriansyah, 24, dia dan mangsa curi-curi keluar dari kawasan kilang itu dengan meniti saluran paip air menyeberangi sungai untuk ke Pasar Raya E-Mart Tudan.

Badriansyah mendakwa, ketika meniti saluran paip itu, seekor buaya tiba-tiba muncul di permukaan lalu menyambar mangsa.

Operasi SAR hari ini dilakukan di permukaan dengan menggunakan bot penyelamat dan sehingga jam 5 petang ini, pencarian masih gagal menemukan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 5:54 PM