Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri terbuka dan menyambut baik kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Kabinetnya yang menjadikan Terengganu antara lokasi penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbezaan parti politik yang memerintah di peringkat negeri dan pusat bukan halangan untuk bekerjasama sebaliknya kerajaan negeri mengalu-alukan rombongan pemimpin itu ke Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya bersedia menghulurkan bantuan untuk menjayakan majlis rumah terbuka berkenaan pada 13 Mei ini.

"Saya difahamkan bahawa enam negeri yang akan terbabit tetapi yang diwar-warkan dalam surat khabar itu (hanya) tiga negeri saja dan keenam-enam negeri ini adalah negeri yang akan menghadapi pilihan raya.

"Walau apa pun objektif (atau) apa yang ingin dicapai oleh pihak (kerajaan) Persekutuan tetapi bagi pihak kerajaan negeri kami sangat terbuka dan mengalu-alukan kedatangan rombongan Perdana Menteri dan semua anggota Kabinet untuk berhari raya di Terengganu.

"Kita cuba buktikan bahawa kita di Terengganu walaupun berbeza parti politik yang memerintah negeri dan Persekutuan tetapi kita sesekali tidak menganggap ia sebagai satu halangan untuk kita bekerjasama, jadi sila datang, Insya-Allah kita raikan sebagai tetamu yang istimewa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di Kediaman Seri Iman di sini hari ini.

AHMAD Samsuri (kiri) bersama isteri, Tuan Faezah ketika menyampaikan duit raya ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di Kediaman Seri Iman. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
AHMAD Samsuri (kiri) bersama isteri, Tuan Faezah ketika menyampaikan duit raya ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di Kediaman Seri Iman. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Ketika ditanya adakah kedatangan itu bertujuan untuk meraih undi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, pihaknya menyerahkan kepada masyarakat untuk membuat penilaian dan tafsiran sendiri sambil memaklumkan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan juga baik.

"Terpulang pada tafsiran semua orang tetapi kita di peringkat negeri Terengganu, Insya-Allah kita mengalu-alukan kehadiran mereka.

"Kita tidak merasakan apa-apa (sebaliknya) kita rasa sangat gembira (dan) datang (ke Terengganu) Insya-Allah, kita raikan mereka," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri tidak akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri yang biasanya berlangsung pada 1 Syawal di kediaman rasmi beliau di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Sebaliknya, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan buat julung kalinya, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri akan diadakan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Selain itu, terdapat tiga lagi Rumah Terbuka Aidilfitri akan dihadiri Perdana Menteri yang dianjurkan masing-masing oleh kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 3:13 PM