Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Nombor plat pendaftaran kenderaan 'AMY 1' yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menerima bidaan RM400,000.

Ia menjadi bidaan tertinggi menerusi sesi yang berlangsung selama lima hari sejak 9 April lalu.

Jumlah bidaan itu lebih tinggi berbanding nombor plat kenderaan siri 'AKU' termasuk AKU 8055 (RM74,000) serta AKU 1 (RM207,898.90) yang dikeluarkan pada Ogos 2017.

Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata menerusi sesi bidaan itu yang berakhir 13 April lalu, pihaknya mengutip hasil bidaan sebanyak RM6 juta hanya bagi nombor pendaftaran siri 'AMY'.

Menurutnya, selepas AMY 1; jumlah tertinggi seterusnya disusuli oleh plat AMY 2 hingga AMY 9 dengan nilai masing-masing melebihi RM80,000 setiap satu.

"Dengan siri 'AMY' sekarang, saya melihat 'trend' (sohor) macam orang banyak duit memandangkan hampir semua nombor popular sudah dibida dan dimiliki.

"Masih ada 16 sahaja nombor berbaki membabitkan nombor popular bagi siri 'AMY'," katanya ketika ditemui pemberita dalam program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 peringkat Perak di perkarangan Pasaraya Mydin Meru Raya, di sini, hari ini.

Mohammad Yusoff (tiga, kiri) ketika mengiringi Mohammad Nizar dalam program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 peringkat Perak di perkarangan Pasaraya Mydin Meru Raya, di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Mohammad Yusoff (tiga, kiri) ketika mengiringi Mohammad Nizar dalam program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 peringkat Perak di perkarangan Pasaraya Mydin Meru Raya, di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Hadir sama Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Perak; serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Hamdan Ali.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata, lebih daripada 3 juta kenderaan dijangka akan memasuki Perak termasuk melalui Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) setiap hari sempena sambutan Aidilfitri tahun ini khususnya pada waktu puncak iaitu pada Jumaat, Sabtu, dan Ahad ini.

Katanya, sepanjang tempoh waktu puncak itu 159 anggota JPJ Perak ditugaskan membuat rondaan dan pemantauan membabitkan 2 peralihan waktu tugas (shift) sehari iaitu masing-masing lebih 70 anggota setiap 'shift'.

"Bagi mereka dari Selangor yang hendak menuju utara melalui Perak, dicadang menggunakan laluan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) bagi mengelakkan kesesakan di PLUS.

"Dan bagi yang dari Gopeng (Ipoh) menghala Kuala Kuala Kangsar, disaran menggunakan jalan lama (laluan persekutuan) melalui Sungai Siput bagi mengelakkan kesesakan khususnya di Terowong Menora," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 7:07 PM