Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Anthony Loke  di Istana Negara. FOTO Instagram @officialsultanibrahim
Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Anthony Loke di Istana Negara. FOTO Instagram @officialsultanibrahim
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim melakar sejarah baharu apabila muncul sebagai pembida nombor plat kenderaan tertinggi di negara ini.

Ia menerusi kejayaan baginda membida nombor plat kenderaan 'GOLD 1' dengan nilai RM1.5 juta, seperti dimaklumkan dalam muat naik di Instagram @officialsultanibrahim, hari ini.

Nilai bidaan berkenaan akan disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Terdahulu, baginda juga berkenan menerima mengadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Istana Negara, dekat sini.

Pada pertemuan itu, Siew Fook turut mempersembahkan simbolik nombor plat kenderaan berkenaan kepada Sultan Ibrahim.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini, dilapor membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) iaitu siri 'GOLD' sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

Bidaan itu dibuka melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) mulai 1 Februari lalu, sehingga 10 malam 5 Februari ini.

NPI yang dimaksudkan ialah tanda indeks mempunyai prefix siri GOLD, melambangkan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

Harga bidaan menerusi JPJeBid adalah mengikut kadar minimum ditetapkan, iaitu bermula daripada RM20,000 bagi nombor bernilai utama, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800), dan nombor biasa (RM300).

JPJ menerusi bidaan nombor pendaftaran FF sebelum ini berhasil mendapat pulangan hampir RM35 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 3:27 PM