JAINJ menjalankan Ops Kesan dan Ops Kutip sekitar Taman Suria, Kawasan Perindustrian Larkin, Uda Business Centre dan Johor Bahru, hari ini. FOTO Ihsan JAINJ
JAINJ menjalankan Ops Kesan dan Ops Kutip sekitar Taman Suria, Kawasan Perindustrian Larkin, Uda Business Centre dan Johor Bahru, hari ini. FOTO Ihsan JAINJ
Omar Ahmad


Johor Bahru: Meskipun sudah kerap diserbu, beberapa kedai makan di sekitar Taman Suria, Kawasan Perindustrian Larkin, Uda Business Centre dan pusat bandar raya ini bagaikan tidak menghormati Ramadan apabila masih menjual makanan secara terbuka kepada umat Islam seawal 10 pagi.

Dalam Ops Kesan dijalankan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), hari ini, empat notis dikeluarkan kepada peniaga yang menjual makanan, minuman dan rokok, manakala 85 notis lagi dikeluarkan terhadap individu yang didapati makan, minum serta menghisap rokok secara terbuka di tempat awam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tindakan terpaksa diambil hari ini selepas lokasi terbabit diadukan sebagai 'lokasi panas' menjual makanan kepada umat Islam, biarpun Bahagian Penguatkuasaan JAINJ sudah beberapa kali datang memberi nasihat.

"Empat notis diberikan kepada peniaga mengikut Seksyen 15(a) Enakmen Jenayah Syariah 1997, manakala 85 individu lagi diberi notis mengikut Seksyen 15 (b) Enakmen Jenayah Syariah 1997.

"Atas kesalahan itu, mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya. Kita juga terus menghubungi Datuk Bandar Johor Bahru bagi mendapatkan kerjasama mengatasi masalah ini," katanya ketika ditemui selepas menyertai operasi yang bermula 11 pagi sebelum berakhir pada 2 petang, hari ini.

Dalam serbuan berasingan, Mohd Fared berkata, pihaknya turut menjalankan Ops Kutip dan menahan 12 individu yang didapati membuat kutipan sumbangan tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

"Tindakan diambil mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003, jika bersalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

"Bagi Ops Kutip itu, didapati pesalah mengutip sumbangan atas nama madrasah, sekolah tahfiz, pusat kebajikan orang Islam dan juga pembinaan masjid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 4:25 PM