Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Puteh: Tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai desakan politik.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berkata, ia terserah kepada Lembaga Pengampunan sama ada mahu mempertimbangkan perkara itu atau sebaliknya.

"Isu memohon pengampunan, ia ada proses dan prosedur tertentu. Setahu saya sesiapa yang boleh memohon, namun dia (Umno) menggunakan desakan politik.

"Terserah kepada Lembaga Pengampunan sama ada mahu pertimbang perkara itu atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat pimpinan PN Kelantan di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Semalam media melaporkan, MKT Umno yang bermesyuarat memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, ia sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu katanya, MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta memorandum yang ditandatangani seluruh kepimpinan Umno daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan Pemuda serta Puteri Umno.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan menjadi sebahagian daripada pihak yang terbabit dalam proses penilaian permohonan Pengampunan Diraja Najib, beliau enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak boleh komen kerana perkara itu bersandarkan perlembagaan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 9:11 AM