Oleh Zaitie Satibi


Asalnya dia seorang perokok tegar dan bagi menghentikan ketagihannya terhadap rokok selain tidak mahu mengikut jejak bapanya yang mati kerana kanser paru-paru akibat banyak merokok, ahli farmasi di Beijing, China, ini mencipta rokok elektronik yang moden.

Hon Lik, 64, mencipta rokok elektronik (e-rokok) pada 2003 menggunakan elemen ultrabunyi piezoelektrik untuk mengewap nikotin dalam peranti yang dibentuk menyerupai rokok konvensional. Wap yang terhasil akan membawa nikotin yang disedut ke dalam paru-paru dan kemudiannya masuk ke dalam aliran darah bertujuan memberikan dos nikotin kepada perokok tanpa perlu menyedut asap rokok.

Hon mempatenkan hak cipta berkenaan dan setahun kemudian peranti berkenaan dikomersialkan syarikat tempatnya bekerja. E-rokok mendapat permintaan di pasaran China kononnya sebagai alternatif lebih sihat bagi menggantikan rokok konvensional.

Peranti itu kemudian begitu cepat tersebar di negara jiran dan aliran baru itu dikatakan mula memasuki Eropah pada 2006 dan menjadi popular di Amerika Syarikat pada tahun berikutnya. Pada 2013, Hon Lik menjual hak ciptaannya itu kepada satu syarikat tembakau di United Kingdom dan turut diambil bekerja sebagai perunding di syarikat berkenaan.

Selepas 10 tahun e-rokok diperkenalkan, penggunaannya semakin meluas dan mencapai puncak populariti tahun lalu. Teknologinya semakin mantap dan banyak syarikat mula mengeluarkan peranti e-rokok atau gajet dalam pelbagai bentuk. Kini, e-rokok mencetus fenomena di seluruh dunia dan asal muncul perkataan ‘vape’ iaitu aktiviti menghisap wap dari e-rokok.

Namun, Hon Lik bukan orang pertama mencipta e-rokok kerana ia kali pertama diperkenalkan oleh Herbert A Gilbert pada 1963. E-rokok ketika itu digambarkan sebagai rokok tanpa tembakau apabila nikotin dipanaskan untuk menghasilkan wap. Namun, produknya tidak pernah dikomersialkan.

Pada 1979, Dr Norman Jacobson mencipta semula e-rokok dengan peranti yang membenarkan pengguna menyedut nikotin tanpa asap. Malah, beliau juga dikatakan adalah insan yang merintis perbuatan ‘vaping’. Namun, e-rokok ketika itu tidak mendapat sambutan kerana merokok konvensional adalah perkara biasa, di samping tiada pembaharuan dalam teknologi e-rokok.

Sejak e-rokok menjadi popular, ia turut mendapat perhatian pelbagai agensi kesihatan dan penyelidikan mengenai kesan penggunaan e-rokok mula dijalankan pada 2012 hingga 2013. E-rokok dikatakan tidak diluluskan sebagai peranti untuk berhenti merokok oleh mana-mana pihak.

Pada Julai 2014, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) mendapati tiada bukti yang cukup untuk menentukan jika e-rokok mampu membantu perokok berhenti merokok. Malah, konvensyen berkenaan mencadangkan perokok perlu digalakkan untuk menggunakan kaedah yang diluluskan untuk membantu mereka berhenti merokok.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif berkata, beliau tidak menafikan e-rokok mampu mengurangkan kesan nikotin yang disebabkan oleh rokok konvensional tetapi jika digunakan dengan cara yang betul dan sebaik-baiknya.

Namun, penggunaan e-rokok sebagai kaedah untuk berhenti merokok dalam jangka masa panjang belum terbukti kerana ia perkara baru berbanding kaedah tampalan atau gula-gula getah bernikotin menerusi terapi gantian nikotin (NRT) atau terapi oral.

“Mengikut kajian yang kita buat untuk tampalan dan gula-gula getah bernikotin menunjukkan kita boleh mengurangkan ketagihan atau berhenti merokok sekurang-kurangnya 20 hingga 40 peratus. Tetapi, ia perlu dilakukan bersama kaunseling yang bagus.

“Jadi, kalau mahu berhenti merokok bukan ubat saja kerana kaunseling juga penting. Nasihat daripada doktor pun sangat penting dan ditambah dengan ubat yang kita bagi nikotin itu,” katanya di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Bagi Mengkaji Kesan Rokok Elektronik dan Shisha Terhadap Kesihatan turut menyatakan kebimbangan bahawa penggunaan e-rokok akan menghidupkan trend baru dalam kalangan generasi muda.

Jawatankuasa berkenaan yang ditubuhkan tahun lalu mengesyorkan kepada kerajaan untuk mengharamkan penggunaan e-rokok bernikotin kerana nikotin yang terdapat dalam rokok elektronik sama dengan rokok tembakau.

Sekumpulan saintis dari Universiti Athens, Greece, menjelaskan bahawa e-rokok yang dilihat oleh kebanyakan pihak sebagai alternatif menyihatkan kepada rokok konvensional juga boleh membahayakan paru-paru pada Kongres Tahunan Persatuan Respiratori Eropah (ERS) yang diadakan di Vienna pada 2012.

Dalam kajian khusus ini, Profesor Christina Gratziou dan kumpulannya menjalankan eksperimen mengenai kesan jangka pendek e-rokok terhadap 32 sukarelawan terdiri daripada 24 perokok dan lapan bukan perokok. Sebahagian mereka tiada masalah paru-paru, manakala yang lain menghidap lelah dan penyakit pulmonari tersumbat kronik (COPD).

Sukarelawan berkenaan diminta menggunakan e-rokok selama 10 minit dan menyedut wapnya ke dalam paru-paru. Ujian spirometri dijalankan bagi mengukur rintangan dalam saluran udara mereka. Rintangan saluran udara digunakan dalam fisiologi pernafasan bagi mengukur rintangan saluran pernafasan untuk aliran udara yang masuk semasa menyedut dan menghembus.

Kumpulan penyelidik mendapati penggunaan e-rokok menyebabkan peningkatan segera dalam rintangan saluran udara yang bertahan dalam tempoh 10 minit dalam kebanyakan sukarelawan terbabit.

Hasil kajian menunjukkan penggunaan e-rokok dalam masa 10 minit dalam kalangan bukan perokok menyebabkan peningkatan rintangan saluran udara sebanyak 206 peratus daripada 182 peratus, manakala perokok pula meningkat kepada 220 peratus daripada 176 peratus.

Namun, bagi sukarelawan yang menghidap lelah dan COPD didapati tiada peningkatan signifikan dalam rintangan saluran udara mereka.

Profesor Christina yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kawalan Tembakau ERS berkata, pihaknya masih belum mengetahui produk agen pembawa nikotin yang tidak diluluskan seperti e-rokok adalah lebih selamat daripada rokok konvensional walaupun pasaran mendakwa ia kurang membahayakan.

“Kajian ini membantu kami memahami bagaimana produk ini mungkin berpotensi mendatangkan bahaya. Kami mendapati peningkatan segera dalam rintangan saluran udara dalam kumpulan sukarelawan berkenaan mencadangkan e-rokok boleh menyebabkan bahaya singkat selepas menggunakan perantinya.

“Lebih banyak kajian diperlukan bagi memahami sama ada bahaya ini juga mempunyai kesan berkekalan dalam jangka panjang. Persatuan mengesyorkan untuk mengikuti garis panduan rawatan berhenti merokok yang berkesan berdasarkan bukti klinikal yang tidak menyokong penggunaan produk e-rokok,” katanya.

Menurut laman web www.vapehit.com, kandungan cecair dalam e-rokok secara asasnya adalah perasa dan nikotin yang larut dalam komponen higroskopi iaitu bahan yang mempunyai kemampuan menyerap molekul air yang menukar air dalam larutan ke dalam asap seperti wap apabila dipanaskan.

Komponen higroskopi yang biasa digunakan termasuk propylene glycol (PG), vegetable glycerine (VG) dan polyethylene glycol 400 (PEG 400).

Ketiga-tiga cecair berkenaan adalah bahan tambahan makanan yang biasa digunakan dalam pelbagai formulasi farmaseutika.

PG sudah digunakan dalam penyedut dan alat nebulizer untuk lelah sejak 1950. Malah, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat turut mengklasifikasi PG di bawah kategori Secara Umumnya Diiktiraf Selamat (GRAS).

Cecair asas dalam e-rokok adalah PG atau VG, namun kandungan dalam larutan cecair e-rokok berbeza. Nikotin digunakan dalam larutan bagi bertujuan menggantikan peranan nikotin. PG dan VG digunakan bagi membekalkan nikotin. Bagaimanapun, pengguna e-rokok boleh meletakkan cecair tanpa nikotin.

Pelbagai perasa berlainan seperti tembakau biasa dan menthol dijual. Perasa makanan turut digunakan daripada tradisional seperti vanila dan kopi kepada eksotik seperti buah-buahan strawberi dan mangga. Malah, sesetengah perasa menyerupai jenama rokok tertentu.

Penggunaan larutan cecair mengandungi nikotin pula dihasilkan dengan kepekatan nikotin berbeza sesuai dengan pilihan pengguna. Dosnya juga tidak seragam dan berbeza-beza mengikut pengeluar.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan memberikan takrifan berbeza apabila peranti elektronik yang mengandungi nikotin dirujuk sebagai rokok elektronik atau eCig, manakala yang tidak mengandungi nikotin adalah dirujuk sebagai vape.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, penjualan dan penggunaan e-rokok mengandungi nikotin tertakluk kepada peraturan dan undang-undang di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 (Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004). Oleh itu, edaran, penjualan dan penggunaan e-rokok adalah tertakluk kepada peraturan dan undang-undang berkenaan.

“Nikotin adalah bahan berjadual bermaksud hanya orang-orang tertentu atau ahli farmasi berlesen saja dibenarkan menjual apa juga bentuk bahan mengandungi nikotin. Vape tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang ketika ini, tetapi pihak kementerian ingin menyarankan kepada seluruh rakyat Malaysia janganlah mengamalkannya,” katanya.

Menurutnya, sehingga ada sokongan dan kajian saintifik yang cukup jelas menunjukkan kebaikan penggunaan e-rokok mengatasi keburukannya, pihak kementerian cenderung melarang e-rokok seperti disaran oleh FCTC dan Kesatuan Antarabangsa Menentang Tuberkulosis dan Penyakit Paru-paru.

Bagi vape pula, pihak kementerian menasihati pengguna berhenti menggunakannya dan kepada bukan pengguna supaya tidak memulakan tabiat yang merugikan. Pihak kementerian tidak menyokong amalan yang menyebabkan bahan asing disedut ke dalam paru-paru hanya untuk keseronokan tanpa diketahui kesan jangka panjang.

“Kita tidak sentuh lagi isu fasal kemungkinan cecair vape ditambah dengan macam-macam benda yang segala-galanya boleh. Pihak kementerian akan meneruskan kempen seperti mana kita melakukan kempen berhenti merokok bagi memastikan rakyat Malaysia terus mengamalkan cara hidup sihat.

“Ini kerana, kebimbangan kita adalah mereka yang tidak merokok terutama kanak-kanak. Anak-anak kecil ini akan melihat penggunaan vape tiada kesan buruk kerana ia tidak ada nikotin sebaliknya bermacam-macam perasa.

“Mereka akan mula mencuba vape untuk seronok, tetapi apabila dewasa mereka akan mencari sesuatu yang lebih nikmat iaitu nikotin dan di sinilah datang ketagihan,” katanya.

Kini, terdapat pelbagai bukti kajian saintifik menunjukkan vaping juga menyebabkan kemudaratan kepada tubuh. Perokok wajar berusaha membuang ketagihan nikotin dengan mendapatkan rawatan berhenti merokok daripada Perkhidmatan Berhenti Merokok di klinik dan hospital kerajaan atau mana-mana badan profesional yang lain.

Kesan kesihatan amalan vaping mungkin tidak diketahui sehingga bertahun-tahun lamanya dan mungkin tiada apa boleh dilakukan pada waktu itu untuk memulihkan kesan kesihatan yang berlaku.

Oleh itu, pihak kementerian meminta orang ramai menolak amalan vaping dan e-rokok demi menjaga kesihatan, anak-anak dan generasi Malaysia akan datang daripada kemudaratan kesihatan berpunca gaya hidup tidak sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:00 AM