GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Sejumlah 21,408 pegawai perubatan dan 697 pegawai pergigian bakal menerima manfaat selepas Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melaraskan gred pegawai perubatan dan pegawai pergigian berasaskan kesetaraan laluan kerjaya pegawai tetap.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, pelarasan gred itu akan ditawarkan menerusi sistem e-housemen dan e- dentist bermula hari ini.

Beliau berkata, ia selaras dengan kelulusan mengenai prinsip pelaksanaan urusan itu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 21 Januari lalu dan kelulusan peruntukan oleh Kementerian Kewangan serta persetujuan pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) semalam.

"KKM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan kerana meluluskan permohonan untuk melaraskan gred pegawai perubatan kontrak Gred UD41 ke Gred UD43 dan pegawai pergigian kontrak Gred UG41 ke Gred UG44 berasaskan kesetaraan laluan kerjaya pegawai tetap.

"Notifikasi mengenai tawaran ini akan dikemukakan kepada pegawai yang berkenaan menerusi emel masing-masing.

"Menerusi pelarasan gred ini, diharapkan pegawai dapat meningkatkan lagi motivasi dan komitmen masing-masing untuk melaksanakan tugasan dengan lebih cemerlang termasuk turut bersama dalam membendung dan menangani pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pada 4 Februari lalu JPA dan Kementerian Kewangan pada 10 Februari lalu turut meluluskan permohonan untuk menyambung perkhidmatan kontrak seramai 585 pegawai perubatan; 1,071 pegawai pergigian dan 1,966 pegawai farmasi.

Katanya, pemberitahuan mengenai tawaran itu juga akan dikemukakan kepada pegawai berkenaan menerusi emel masing-masing.

Media pada 26 November lalu melaporkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, Kerajaan bersetuju menyelaraskan gred pegawai perubatan dan pegawai pergigian berstatus kontrak daripada Gred UD41 kepada Gred UD43, setara pegawai lantikan tetap.

Beliau dilaporkan berkata, kelulusan itu mengambil kira banyak permohonan diterima daripada pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbangkan pelarasan gred itu.

Selain itu, kelulusan permohonan itu sebagai menghargai perkhidmatan diberikan kumpulan berkenaan, sekali gus membolehkan pegawai kontrak menerima emolumen setara pegawai lantikan tetap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 11:20 AM