BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam proses menyediakan unjuran berkenaan jumlah pegawai perubatan yang perlu dilantik secara tetap.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, unjuran itu akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan untuk meneliti pelantikan jawatan berkenaan mengikut keperluan pada masa depan.

"Saya tak pasti kalau kita dapat serap semua (secara tetap) yang ada di bawah kontrak, tetapi kita mula dengan unjuran keperluan dahulu...saya pasti dengan unjuran itu, kita akan usahakan supaya dapat kita serap untuk dimasukkan dalam perkhidmatan tetap," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang ingin tahu implikasi kewangan sekiranya kerajaan melantik kesemua doktor kontrak ketika ini secara tetap, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy berkata sejak akhir 2016, lebih 24,000 pegawai perubatan latihan siswazah dilantik secara kontrak, namun hanya sekitar 1,000 orang ditawarkan perkhidmatan tetap dan ia adalah masalah legasi lama yang perlu diatasi segera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 12:30 PM