GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Bukan salah mereka sekarang, mereka mewarisi perkara ini (isu petugas kesihatan lantikan kontrak)," kata Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya, perhimpunan yang berlaku semalam adalah hak doktor kontrak untuk diserapkan dalam perjawatan tetap.

Katanya, beliau mencadangkan isu itu tidak dipolitikkan kerana yang penting ia diselesaikan dan tidak diambil kesempatan oleh pihak lain.

"Kita tahu bahawa di Malaysia ini isu petugas kesihatan membabitkan empat kementerian. Kementerian Kesihatan, Pengajian Tinggi, Pertahanan dan Kewangan.

"Pada mereka, naik pangkat ialah nombor dua kerana bagi mereka adalah supaya dapat masuk (diserap) dan jadi pakar," katanya.

Beliau meminta isu berkenaan diberi perhatian oleh Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk diteliti semula.

Semalam lebih 100 doktor kontrak di setiap hospital di seluruh negara menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mengetengahkan beberapa tuntutan kepada kerajaan.

Ia dibangkitkan di Dewan Rakyat pada hari pertama sidang khas semalam, susulan himpunan yang diadakan untuk menuntut hak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 4:37 PM