ORANG ramai beratur menunggu giliran untuk memeriksa dan mendapatkan wang BPN di Kuala Terengganu, 6 April lalu. FOTO Ghazali Kori
ORANG ramai beratur menunggu giliran untuk memeriksa dan mendapatkan wang BPN di Kuala Terengganu, 6 April lalu. FOTO Ghazali Kori
Mahanum Abdul Aziz


KERAJAAN akan membuat pembayaran fasa kedua untuk kesemua penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) mulai 4 Mei 2020.

Ia termasuklah golongan B40 dan M40, sama ada isi rumah atau individu bujang.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi pembayaran fasa pertama BPN, sebanyak 7.74 juta penerima telah menerima bayaran BPN berjumlah RM5.47 bilion.

Beliau berkata, proses bayaran tunai bagi mereka yang tiada akaun bank telah bermula sejak 17 April 2020 dan berjalan lancar dengan lebih 157,000 menerima bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional seluruh negara.

"Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 untuk 2.5 juta penjawat awam dan pesara, termasuk veteran angkatan tentera tidak berpencen telah dibuat pada 23 April 2020.

"Bagi golongan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) pula, mulai 27 April 2020, bantuan RM200 secara sekali saja sudah dihulurkan, yang mana bantuan itu akan memanfaatkan seramai 1.5 juta pelajar IPT di seluruh negara," katanya menerusi perkongsian laporan ketiga pencapaian pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasminya, hari ini.

Sementara itu, katanya, lebih 3.26 juta permohonan baharu dan juga rayuan diterima untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga 26 April 2020.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 2.96 juta adalah permohonan baharu dan 305,000 adalah rayuan, sementara proses itu, akan ditutup pada Khamis, 30 April ini.

"Pengumuman pembayaran pula akan dibuat pada minggu depan selepas proses semakan selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 3:54 PM