Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Syukur selama arwah suami sakit dan selepas tiga tahun meninggal dunia pun, sahabat sentiasa menolong saya walaupun tidak minta. Dalam bulan puasa ini juga ada rakan hantar lauk-pauk untuk saya dan anak-anak," kata ibu tunggal, Soboh Darmi Wasrin,42, dari Taman Peringgit Jaya, di sini.

Menurutnya, mereka enam beranak kini hanya bergantung kepada pencen ilat arwah suami, Ramli Ismail berjumlah RM1,800 sebulan sejak tiga tahun lalu serta ihsan rakan dan jiran tetangga untuk menyara kehidupan.

Soboh Darmi berkata, walaupun anak-anaknya turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 sebulan, namun ia belum mencukupi.

Katanya, sejak kematian suami akibat penyakit angin ahmar pada 12 Mac 2020, mereka terpaksa berjimat cermat.

"Saya tidak dapat bekerja kerana undang-undang Malaysia tidak membenarkan dan sejak itu hanya bergantung kepada pencen bulanan daripada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan ihsan kawan-kawan yang simpati," katanya ketika ditemui di sini.

Soboh Darmi yang berasal dari Jakarta, Indonesia dan belum memperoleh status Penduduk Tetap (PR) berkata, walaupun susah, dia sentiasa ingat pesanan arwah suaminya supaya memastikan pendidikan sempurna buat anak-anak dan cucunya.

"Sebab itu saya sanggup gunakan duit syiling dari tabung anak untuk beli kelengkapan sekolah walaupun pada waktu itu barang dapur juga semakin berkurangan.

"Saya utamakan untuk anak-anak sekolah dulu, makan itu boleh 'adjust' lagi, tidak semestinya makan yang sedap-sedap.

"Tahun ini perbelanjaan persekolahan tiga anak serta seorang cucu berusia 21 hingga 10 tahun tinggi mencecah RM2,000, mujur ada rakan menolong termasuk untuk yuran," katanya sebak ketika ditanya jika pernah terputus makanan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor 0440141100005366 atas nama Soboh Darmi Wasrin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 12:54 PM