FARIHAH (dua kiri) menyampaikan  faedah Perkeso kepada Mohd Syawal, suami kepada Allahyarhamah Nor Faizuamee yang maut dalam kemalangan di Taman Perumahan Kampung Alur Jambu. FOTO Faizul Azlan Razak
FARIHAH (dua kiri) menyampaikan faedah Perkeso kepada Mohd Syawal, suami kepada Allahyarhamah Nor Faizuamee yang maut dalam kemalangan di Taman Perumahan Kampung Alur Jambu. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: "Arwah seorang yang pendiam namun dua hari sebelum kejadian arwah kurang bercakap dengan saya. Lebih menyedihkan kemalangan berlaku sehari sebelum ulang tahun perkahwinan kami yang ke-11," kata Mohd Syawal Arifin@Abd Rahman, 34.

Mohd Syawal ialah suami kepada Allahyarhamah Nor Faizuamee Zulkifli, 37, yang maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta pelbagai guna (MPV) di Bandar Baru, di sini, pada 16 Oktober lalu.

Akibat kemalangan kira-kira jam 5 petang itu, suri rumah terbabit yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, arwah isterinya dalam perjalanan mahu mengambil anak sulung mereka di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Air, Tepuh.

"Kami tinggal di Kampung Bukit Berangan, Tepuh dan pada hari kejadian arwah isteri berada di rumah keluarganya di Taman Perumahan Kampung Alur Jambu, di sini.

"Memang menjadi rutin harian arwah isteri menghantar dan mengambil anak di sekolah. Ketika kejadian saya berada di tempat kerja dan bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan berhubung kemalangan yang menimpa isterinya," katanya.

Terdahulu, Mohd Syawal dikunjungi Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu yang menyampaikan faedah Perkeso kepada waris di rumah keluarga Allahyarhamah Nor Faizuamee di Taman Perumahan Kampung Alur Jambu, di sini.

Majlis penyampaian faedah Perkeso kepada waris disampaikan Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin.

Mohd Syawal yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, kehilangan arwah isteri begitu dirasai, namun reda dengan ketentuan Allah dan akan membesarkan anak-anak dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, buat masa sekarang, dua anak, Muhammad Firash Ammar, 9, Muhammad Faris Amsyar, 6, tinggal bersamanya manakala Nur Falisha Adlyna, 2, tinggal bersama mentua.

"Saya bersyukur dengan ada Faedah Pencen Penakat secara bulanan ini sedikit sebanyak meringankan beban membesarkan anak-anak," katanya.

Sementara itu, Farihah berkata, waris layak menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 yang sudah dibayar terus ke akaun suami pada 22 Oktober lalu.

"Malah, suami arwah akan turut menerima Faedah Pencen Penakat berbentuk Pencen Bulanan untuk seumur hidup manakala anak-anak yang berusia bawah 21 tahun turut akan menerima pencen bulanan sehingga mereka berusia 21 tahun atau bukan lagi di bawah tanggungan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 12:57 PM