GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Sindiket penyeludupan dikesan masih aktif menyeludup barang kawalan terutama minyak masak, meskipun banjir di kawasan bersempadan Sungai Golok.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail tidak menolak kemungkinan ada pihak yang sanggup mengambil risiko menyeberangi sungai berarus deras untuk menyeludup barangan itu ke Thailand.

"Selain itu permintaan yang tinggi dan harga jualan minyak masak peket dijual di Thailand agak mahal, menyebabkan penyeludup ghairah membawa keluar barangan itu dari negara ini.

"Ketirisan ini juga disebabkan kualiti barang kawalan serta jarak sempadan negara yang terbuka sekali gus memudahkan penyeludupan berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, tular di media sosial apabila seorang pengguna Facebook mendakwa banyak kedai di Thailand menjual minyak masak bersubsidi yang dikatakan sukar diperoleh di Kelantan.

Dakwanya, minyak masak tempatan itu djual pada harga RM5 sepeket di negara jiran dan mahu pihak berwajib menyiasat.

Mengulas lanjut, Azman berkata, KPDN Kelantan meningkatkan penguatkuasaan memastikan aktiviti penyeludupan ditangani secara berterusan.

"Penguatkuasaan undang-undang diperkuatkan lagi dengan pelbagai

operasi bersepadu bersama agensi sempadan, mengadakan libat urus

bersama, berkongsi maklumat risikan bagi melindungi hak-hak pengguna serta subsidi yang dibekalkan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, 362 kes diambil tindakan sepanjang 2023 mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan rampasan barangan bernilai hampir RM4.6 juta.

"Untuk minyak masak bersubsidi, sebanyak 118 tindakan kes dihasilkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM302,507.50 membabitkan 121,003 kilogram (kg).

"Memasuki tahun 2024, penguatkuasaan semakin dipergiatkan dengan mengadakan lebih banyak operasi bersepadu, penambahan pegawai di pintu sempadan laluan sah serta pertukaran maklumat risikan bersama agensi penguatkuasaan sempadan bagi menangani isu penyelewengan melalui sempadan negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 7:04 PM