ANGGOTA penguat kuasa KPDN melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi di Metro Park, Sendayan disyaki beroperasi tanpa kebenaran. FOTO Ihsan KPDN
ANGGOTA penguat kuasa KPDN melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi di Metro Park, Sendayan disyaki beroperasi tanpa kebenaran. FOTO Ihsan KPDN
Ahmad Hasbi

Seremban: Sebanyak 5,100 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dirampas di sebuah premis pembungkus barang kawalan berkenaan di Metro Park, Sendayan, di sini, semalam, yang disyaki beroperasi tanpa kebenaran.

Dalam serbuan 10.15 pagi itu, pasukan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) mendapati premis itu tidak pernah membuat permohonan untuk menyimpan barang kawalan.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, tindakan kes ini adalah hasil pemantauan susulan dilakukan pihaknya ke atas syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi di Negeri Sembilan.

"Kami menjalankan satu pemeriksaan ke atas sebuah syarikat pembungkus minyak masak paket bersubsidi yang terletak di Metro Park, 10.15 pagi tadi (semalam).

"Ketika pemeriksaan, terdapat minyak masak paket bersubsidi yang siap dibungkus di lot premis yang tidak didaftarkan di dalam lesen barang kawalan milik syarikat berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, pihak syarikat tiada membuat sebarang permohonan untuk mendaftarkan lot premis berkenaan sebagai tempat penyimpanan barang kawalan iaitu minyak masak bersubsidi," katanya, hari ini.

Tambah beliau, 5,100 kg minyak masak paket bersubsidi serta dokumen berkaitan disita bagi tujuan siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, dengan nilai rampasan berjumlah RM12,750.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 9:47 AM