WARIS kepada Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin Daud yang telah terkorban dalam Op Daulat ketika persembahan pentomen pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
WARIS kepada Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin Daud yang telah terkorban dalam Op Daulat ketika persembahan pentomen pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
Safeek Affendy Razali dan Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Isteri kepada Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, pegawai polis yang menjadi korban tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu, lebih sedekad lalu, kini menagih janji sokongan pendidikan yang pernah disuarakan agensi-agensi kerajaan untuk membantu tiga anaknya.

Nooraziah Noor, 38, mendakwa sebelum ini ada pihak termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) menjanjikan bantuan-bantuan pendidikan dari peringkat sekolah rendah sehingga ke pengajian tinggi, tetapi ia tidak berlaku biarpun tragedi itu sudah hampir 10 tahun berlalu.

Katanya, meskipun kehidupan mereka sekeluarga mencukupi tetapi beliau masih mengharapkan janji tajaan pendidikan yang disuarakan pihak tertentu.

"Alhamdullilah, kami sekeluarga sudah reda dengan tragedi yang berlaku dan ketiga-tiga anak saya juga semuanya dalam keadaan sihat. Cuma apa yang penting hari ini adalah soal pembelajaran mereka.

"Saya mengharapkan kerajaan membantu dari segi pembelajaran dan sekiranya boleh, tiga anak saya ini mendapat tajaan untuk meneruskan pengajian di peringkat sekolah menengah sehingga universiti.

"Sebelum ini Mara ada menjanjikan tajaan tetapi ketika itu anak-anak saya mungkin masih kecil, ada yang masih bayi, tetapi hari ini anak-anak sudah besar. Setakat ini, tiada maklum balas (yang diterima daripada pihak Mara)," katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), hari ini.

Tiga anaknya iaitu, Noorakmal Amiruddin Zulkifli,15, Noor Muhammad Aqil,11, dan Noor Aqib Syahid,10, berjaya membuai perasaan hadirin termasuk Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas berlakon bersama lebih 80 anggota polis lain dalam pantomin tragedi Kampung Tanduo.

Zulkifli dan Sarjan Sabarudin Daud menjadi korban pertama tragedi di Lahad Datu pada tahun 2013 selepas pertempuran antaraan pasukan keselamatan dengan kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo.

Zulkifli ketika itu meninggalkan Nooraziah dan tiga anaknya yang masih kecil iaitu Noorakmal Amiruddin, ketika itu berusia 5 tahun, Noor Muhammad Aqil, setahun, dan Noor Aqib Syahid, masih berada dalam kandungan.

Sementara itu, Nooraziah yang juga seorang guru di sebuah sekolah di Perlis berkata, dia terbuka sekira anak-anaknya mahu mengikuti jejak langkah suaminya itu untuk menjadi seorang anggota polis.

"Saya akui anak-anak saya mempunyai minat ke arah itu dan tidak akan menghalang sekiranya mereka mahu meneruskan kerjaya arwah ayahnya tetapi mereka mestilah betul-betul mempunyai minat kerana ia bukan sesuatu kerjaya yang mudah," katanya.

Katanya, ketiga-tiga anaknya juga mempunyai perangai yang lasak serta raut wajah yang serupa seperti Allahyarham Zulkifli.

Sementara itu, anak sulung arwah, Noorakmal berkata, dia dan dua adiknya begitu berbangga dapat menyarung uniform 69 Komando seperti arwah bapanya.

"Walaupun sedih dan sayu tetapi saya berbangga terbabit dalam persembahan pantomin bersama anggota polis lain untuk memperingati ayah dan rakan-rakannya yang terkorban," katanya.

Katanya, antara pesanan Zulkifli yang paling diingati adalah untuk menjaga ibu dan adik-adiknyaketika ayahnya itu keluar bekerja.

"Saya hanya berusia hanya lima tahun ketika ayah ke Lahad Datu dan dia sempat berpesan untuk saya jaga diri dan menjaga ibu serta adik. Kini ayah sudah tiada, tetapi pesanan itu masih ada dan akan saya ingat sampai bila-bila," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 3:22 PM