Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Rakyat seharusnya bersyukur atas kemakmuran dikecapi hari ini yang lahir atas pengorbanan perwira negara terdahulu.

Pengorbanan yang dilakukan oleh setiap pejuang tanah air terutamanya anggota pasukan keselamatan adalah demi memastikan kedaulatan setiap inci bumi Malaysia kekal terpelihara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setiap titisan darah dan jerih perih pahlawan terdahulu adalah demi nikmat keamanan yang dikecapi rakyat dan senantiasa akan diperjuangkan oleh setiap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, banyak episod cabaran dilalui oleh seluruh warga pasukan menyaksikan betapa utuhnya institusi kepolisan yang lahir pada 25 Mac 1807.

"Patik dan warga pacal-pacal (pegawai dan anggota PDRM) sekalian memperbaharui sumpah taat setia kepada Raja dan Negara serta berikrar memastikan keselamatan setiap rakyat serta kedaulatan negara terus terpelihara.

"Patik dan warga pacal-pacal sekalian juga mempasak tekad untuk melaksanakan tugas secara profesional demi mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," katanya dalam ucapan sempena Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bertemu waris mangsa yang terkorban di Lahad Datu. FOTO Asyraf Hamzah
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bertemu waris mangsa yang terkorban di Lahad Datu. FOTO Asyraf Hamzah

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Sambutan Hari Peringatan Polis.

Acryl berkata, dengan mengekalkan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada' seluruh warga PDRM akan sentiasa 'Sedia Berkhidmat' dan berdiri teguh di bawah naungan Panji-Panji Sang Saka Biru untuk memikul tanggungjawab dan amanah bagi mengekalkan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat serta tanah air ini.

"PDRM akan sentiasa melindungi rakyat dan tanah air dari sebarang bentuk ancaman jenayah sehinggalah ke cabaran krisis kesihatan dan bencana alam," katanya.

Pada majlis berkenaan insiden serangan pengganas Royal Sulu Force (RSF) di Felda Tanduo dan Semporna, Sabah, sedekad lalu dipertontonkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 diketuai oleh Deputi Superintendan Mohd Zulfadhi Zulkifli, bersama 102 anggota kawalan kehormatan dari Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) PDRM.

Seramai 543 pegawai kanan dan pegawai rendah pelbagai jabatan polis dalam kumpulan detachment.

Antara detachment yang terbabit adalah detachment Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, detachment Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), detachment Jabatan Pengurusan, Detachment Jabatan Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah dan Detachment Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

Istiadat turut membabitkan lintas hormat tiga buah helikopter di ruang udara membawa bendera Jalur Gemilang dan Sang Saka Biru, pancaragam, persembahan pentomin peringatan 10 tahun insiden pencerobohan Kampung Tanduo, Lahad Datu, deklamasi sajak dan lafaz ikrar setia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 12:02 PM