BOTOL berisi air ketum yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
BOTOL berisi air ketum yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Polis merampas 120 botol cecair berisi air ketum selepas menahan dua lelaki yang juga penghantar makanan di Pandan Indah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) menjalankan Op Tapis Khas menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan ke atas lelaki terbabit menemui 11 botol plastik yang berisi air ketum dengan anggaran isipadu keseluruhan 8.25 liter.

"Hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun di sebuah rumah di sekitar daerah ini dan menemui dua lagi botol berisi cecair dipercayai air ketum," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut ke atas suspek kedua kemudian membawa ke sebuah lagi rumah yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan air ketum terbabit.

"Polis menemui 111 botol berisi air ketum yang disimpan di rumah terbabit.

"Jumlah keseluruhan air ketum yang dirampas ialah sebanyak RM1,200 dan siasatan mendapati semua air ketum yang dirampas adalah untuk edaran kawasan sekitar," katanya.

Katanya, ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati kedua-duanya negatif penggunaan dadah.

"Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 20 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 5:00 PM