LIM Guan Eng akan mempertahankan kerusi DUN Air Putih pada PRU-14 ini. FOTO Ramdzan Masiam
LIM Guan Eng akan mempertahankan kerusi DUN Air Putih pada PRU-14 ini. FOTO Ramdzan Masiam
Audrey Dermawan


KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, hari ini, mengesahkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Selain itu, Setiausaha Politik Guan Eng, Wong Hon Wai yang juga penyandang kerusi DUN Air Itam selama dua penggal, dipilih calon gabungan pembangkang bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera.

Pencalonan Hon Wai akan menggantikan Zairil Khir Johari yang akan bertanding di DUN Tanjung Bungah kali ini.

Kerusi DUN Tanjung Bungah sebelum ini disandang Teh Yee Cheu, yang bertindak keluar parti pada 7 April lalu, selepas tidak senada dengan DAP dalam pelbagai isu.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow pada sidang media di Pusat Khidmat Tanjung Bungah di Georgetown, hari ini.

Sementara itu, bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Chris Lee Chun Kit diumumkan calon muka baharu mewakili pakatan pembangkang bagi DUN Pulau Tikus.

Penyandangnya sebelum ini, Yap Suey Huey memaklumkan tidak dapat mempertahankan kerusi berkenaan kerana menyambung pengajian di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 3:20 PM