SUKARELAWAN Misi Rakyat menyusun barangan bantuan kepada mangsa banjir sebelum diagihkan. FOTO ihsan Misi Rakyat
SUKARELAWAN Misi Rakyat menyusun barangan bantuan kepada mangsa banjir sebelum diagihkan. FOTO ihsan Misi Rakyat
Khairulmizan Yahya


Kuantan: Seramai 28 penghantar makanan Misi Delivery dari seluruh negeri ini berganding bahu membantu mengagihkan bantuan Misi Rakyat kepada mangsa banjir di negeri ini.

Penyelaras Misi Rakyat Pahang, Saidil Ab Razak berkata, Misi Rakyat berjaya mengumpul sumbangan daripada rakyat Malaysia berjumlah hampir RM250,000 dalam masa tiga hari selepas dilancarkan.

"Bantuan berupa barangan keperluan termasuk makanan dan lampin pakai buang itu disalurkan bermula 4 Mac hingga 11 Mac lalu bagi membantu mangsa banjir di Pahang dan Johor yang terjejas akibat banjir

"Di Pahang, bantuan dihantar ke 19 pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan terjejas membabitkan daerah Rompin, Maran dan Temerloh.

"Proses pengagihan turut dibantu sukarelawan termasuk kumpulan penghantar makanan dari negeri ini bagi mempercepatkan agihan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini Misi Rakyat sudah membantu mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan yang dilanda musibah pada tahun lalu.

"Namun, saya ingin memperbetulkan persepsi segelintir pihak bahawa kami adalah neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 4:11 PM