Sukarelawan Kuala Krai membantu dan menyerahkan barangan bantuan kepada mangsa banjir di Selangor
Sukarelawan Kuala Krai membantu dan menyerahkan barangan bantuan kepada mangsa banjir di Selangor
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Hajat masyarakat Kuala Krai, Kelantan membalas budi sukarelawan Selangor turun padang membantu Kelantan dalam bencana banjir pada 2014, akhirnya tercapai apabila mereka berpeluang menyantuni mangsa banjir di negeri itu, hari ini.

Atas niat sama, tanpa mengira kira status dan peringkat usia, masyarakat Kuala Krai bersatu hati menyumbang dana, barangan serta tenaga bagi menyempurnakan Misi Bantuan Ke Selangor-Kuala Krai Balas Budi 2014.

Penaung dan Pengasas Barracuda Adventure Team, Mohd Fadhil Hazmi berkata, seramai 250 sukarelawan menggunakan 103 kenderaan pacuan empat roda serta 11 lori muatan tiga tan bergerak menghantar barangan bantuan asas bernilai keseluruhan RM250,000 untuk menyantuni mangsa banjir di sekitar Shah Alam dan Hulu Langat.

Katanya, rombongan misi berkenaan memulakan perjalanan dari Kuala Krai pada 5 petang semalam itu turut disertai Lacar Group, Task Force Kuala Krai dan Kuala Krai Mx selain mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, wakil rakyat Guchil, Manik Urai, Mengkebang dan Kuala Krai, Raja Rimba Adventure Team serta warga Sekolah Kebangsaan Dusun Tua.

"Misi ini tercetus apabila ramai warga Kuala Krai menyatakan hajat mereka mahu membalas budi rakyat Selangor yang pernah suatu ketika dulu turun padang membantu ketika kami dilanda bah kuning pada 2014.

"Mulanya kumpulan kami mahu bergerak secara kecil-kecilan, tetapi apabila ada saranan warga Kuala Krai yang meminta kami bergabung dengan kumpulan lain, kami pun membuka pusat pengumpulan barangan bantuan sejak Isnin lalu.

"Tak sangka sambutan amat menggalakkan, malah saya amat terharu dengan keprihatinan warga Kuala Krai tidak kira keadaan mereka (warga emas) walaupun uzur masih lagi minta kita datang rumah ambil barangan sumbangan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, semua barangan bantuan keperluan asas seperti tilam, tikar, lampin pakai buang bayi, tuala wanita dan makanan kering itu dikenal pasti atas permintaan dan keperluan mangsa banjir menerusi rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat.

"Kita sudah rujuk Hulu Langat dan Shah Alam apa yang mangsa banjir perlukan kerana kita tidak mahu berlaku pembaziran barangan bantuan, malah kita juga hanya masuk ke kawasan yang tidak dibantu mana-mana pihak.

"Setibanya di Hulu Langat 4 pagi tadi, kami pecahkan kepada 10 pasukan di mana sebahagiannya mengedarkan barangan bantuan manakala pasukan lain terbabit kerja membersih dan mencuci kawasan terjejas begitu juga di Shah Alam," katanya.

Katanya, selepas Shah Alam dan Hulu Langat, mereka akan bergerak menyantuni mangsa banjir di Pahang dalam edisi kedua misi berkenaan.

"Kita jangkakan kerja-kerja di Selangor selesai sehingga esok. Alhamdulillah amanah dan hajat seluruh rakyat Kuala Krai membalas budi Selangor tercapai dan berjaya kami tunaikan.

"Selepas ini, kami merancang meneruskan edisi kedua membantu rakyat Pahang terjejas pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 4:00 PM