AHLI Skuad Muafakat 4 All dan Pertubuhan Unit Van Jenazah Muafakat (SM4ALL) menggunakan kenderaan yang sebelum ini digunakan untuk pengurusan jenazah bagi membantu mangsa banjir. Foto ihsan SM4ALL
AHLI Skuad Muafakat 4 All dan Pertubuhan Unit Van Jenazah Muafakat (SM4ALL) menggunakan kenderaan yang sebelum ini digunakan untuk pengurusan jenazah bagi membantu mangsa banjir. Foto ihsan SM4ALL
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama 18 ahli yang kebanyakan pelajar sekolah menggembleng tenaga menjayakan menjalankan misi menyelamat di daerah ini terjejas teruk akibat banjir.

Lebih menarik, Skuad Muafakat 4 All dan Pertubuhan Unit Van Jenazah Muafakat (SM4ALL) itu turut menggunakan lapan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sebelum ini digunakan untuk pengurusan jenazah.

Pengerusinya, Wahyu Hidayat Jaapar berkata pihaknya terpanggil untuk bersama-sama berbakti kepada penduduk selepas kawasan ini dilanda musibah bencana alam.

"Alhamdulillah kami sudah beroperasi selama lapan hari bagi memindahkan lebih 70 penduduk yang terjejas ke kawasan lebih selamat.

"Kami juga membantu menyelamatkan 25 kucing yang terkandas di bumbung rumah atau tempat tinggi dan dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

"Antara kes paling diingati adalah misi menyelamatkan seorang wanita berusia 30 an dan bayinya berusia 3 bulan yang terperangkap dalam rumah dalam keadaan bergelap kira-kira 11.30 malam," katanya ketika ditemui.

Katanya, menumpukan kawasan Seri Medan Yong Peng yang paling teruk terjejas dengan mangsa banjir yang diselamatkan dengan bot kemudian dibawa menaiki van jenazah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Medan.

"Operasi menyelamat juga memakan masa jika menaiki kenderaan ke Parit Jayus hanya sekitar 30 minit tetapi apabila menaiki bot kami mengambil masa sehingga empat jam.

"Operasi kali ini memang mencabar kerana bot terpaksa melalui pokok pokok sawit dan memakan masa berjam lamanya hingga ada ketika kami pergi pada 4.30 petang tetapi hanya dapat pulang 11.30 malam kemudian," katanya.

Katanya, van jenazah turut digunakan untuk mengangkut makanan dan selain barangan termasuk selimut kepada mangsa banjir.

Dalam pada itu, pihaknya menyediakan khidmat pengurusan jenazah termasuk memandikan, mengkafankan dan pengangkutan secara percuma bagi golongan tidak berkemampuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 4:29 PM