Siti Rohana Idris


Tumpat: Jenazah seorang lelaki warga emas dari Kampung Kajang Sebidang terpaksa dibawa menaiki bot sejauh dua kilometer untuk dikebumikan di tanah perkuburan berikutan kawasan itu dipenuhi air.

Jenazah Sulong Ahmad, 88, dibawa dengan bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor dari rumahnya di Kampung Kajang Sebidang, di sini, dengan diiringi dua warisnya.

Menurut cucunya, Shahril Mohd Othman, 19, pada asalnya arwah datuknya ingin dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kajang Sebidang namun disebabkan kawasan itu digenangi air, perancangan itu ditukar di saat akhir.

"Datuk meninggal dunia jam 10 pagi tadi akibat sakit tua dan kami sekeluarga ingin mengebumikannya di kampung ini namun air memenuhi kawasan kubur.

"Ahli keluarga memutuskan untuk mengebumikan arwah di Tanah Perkuburan Kampung Jal Kechik namun perlu meredah kawasan kampung yang seakan lautan disebabkan limpahan air akibat banjir.

"Kami menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan membawa keluar jenazah sejauh kira-kira dua kilometer menuju ke Kampung Jejulok kerana van jenazah menunggu di sana," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

JENAZAH Sulong yang meninggal dunia akibat sakit tua dibawa dengan bot bomba meredah limpahan air. FOTO Siti Rohana Idris
JENAZAH Sulong yang meninggal dunia akibat sakit tua dibawa dengan bot bomba meredah limpahan air. FOTO Siti Rohana Idris

Jenazah tiba di Kampung Jejulok pada 3.45 petang dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang kebetulan hadir untuk agihan makanan kepada mangsa banjir turut membantu mengusung jenazah warga emas itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor Raja Arisansahseni Raja Semail berkata, pihaknya dihubungi 12.20 tengah hari tadi untuk meminta bantuan.

Beliau berkata, pihaknya perlu menunggu keputusan calitan Covid-19 terlebih dahulu sebelum menghantar dua anggota dengan sebuah bot untuk membawa jenazah.

"Pada 2 petang anggota kami bergegas ke lokasi dengan menaiki bot untuk mengambil jenazah warga emas itu keluar dari kawasan kampung yang dinaiki air.

"Operasi ini adalah antara tugas khas kami ketika musim banjir yang sentiasa bersedia 24 jam untuk membantu apabila diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 6:28 PM