Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Suami isteri warga emas dan anak sulung yang terperangkap selepas rumah mereka di Kampung Tembioh di sini, ditenggelami banjir hampir satu meter berjaya diselamatkan hari ini.

Sam Ah Peng, 91; isterinya, Lim Lan Yeng, 87, dan anak mereka, Sam Moi Chan, 63, diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi dengan menaiki bot.

Moi Chan berkata, dia membuat panggilan kecemasan tengah hari tadi selepas air bah semakin tinggi.

"Ibu dan ayah sudah tidak kuat berjalan meredah banjir apatah lagi paras air bah tinggi berbanding banjir sebelum ini.

"Bagi mengelak kejadian tidak diingini, saya terpaksa meminta bantuan... lagipun laluan keluar masuk sudah terputus sepenuhnya.

"Saya cemas melihat banjir kali ini yang amat buruk berbanding sebelumnya yang mana kami masih boleh meredah banjir untuk berpindah ke rumah saudara," katanya ketika ditemui.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada anggota bomba yang membantu dan memastikan mereka selamat.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Zon 2 Johor, Timbalan Penguasa Bomba II Tahrin Saat berkata, anggota BBP Kota Tinggi sentiasa bersiap-siaga bagi memindahkan dan menyelamatkan penduduk terjejas banjir.

"Dalam kes tiga warga emas yang terperangkap di Kampung Tembioh itu, kita menerima panggilan kecemasan daripada mereka untuk bantuan berpindah.

"Kampung Tembioh terletak bersebelahan di Sungai Johor menyebabkan limpahan air berlaku dengan pantas dengan keadaan banjir juga berarus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 4:49 PM