ANTARA pengunjung KL Park Festival di  Taman Tasik Titiwangsa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANTARA pengunjung KL Park Festival di Taman Tasik Titiwangsa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Penganjuran Kuala Lumpur Park Festival 2023 (KL Park Festival 2023) menarik minat 10 keluarga untuk berhimpun mengadakan hari keluarga di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.

Wakil keluarga yang juga kontraktor, Mohd Faizal Amin Ibrahim, 44, berkata, pihaknya memilih KL Park Festival 2023 kerana lokasinya yang strategik selain ada antara ahli keluarga sukakan bunga-bungaan.

Katanya, ada dalam kalangan ahli keluarganya itu datang dari Kelantan dan Negeri Sembilan.

"Ramai minat menanam pokok. Mungkin ada wakil keluarga saya dari Kelantan nak beli untuk mereka bawa balik.

"Disebabkan itu kita membuat keputusan membuat hari keluarga di KL Park Festival 2023," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Bagi pesara kerajaan, Hayati Husin, 64, dia berkunjung di KL Park Festival 2023 kerana hobinya menanam pokok hiasan.

"Saya nak cari pokok hiasan untuk ditanam di rumah. Saya sudah beli lima pokok yang keseluruhannya berjumlah RM160.

"Sini senang nak cari. Jenis yang kita nak itu semuanya ada dan mana-mana pokok yang nampak cantik itu saya beli," katanya.

Bekas guru itu berkata, ini kali pertama dia menghadiri KL Park Festival 2023.

"Ini pertama kali saya datang bersama anak-anak ke festival seperti ini. Di sini juga kita boleh tawar-menawar," katanya.

Pesara, Sazali Saaim, 60, berkata, disebabkan minatnya menanam pokok, dia hadir ke KL Park Festival 2023.

"Harga di sini juga berpatutan dan di Perak susah nak cari pokok yang saya nak," katanya yang berasal dari Chemor.

KL Park Festival 2023 bertemakan Laman Seni dan Flora Malaysia mempamerkan pelbagai bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan rasmi bandar di seluruh negara dalam bentuk laman seni.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini menyasarkan lebih 100,000 pengunjung akan hadir ke festival yang berlangsung 4 hingga 12 Mac ini bermula 9 pagi hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 2:56 PM