KEHIJAUAN teh tehan menambahkan elemen semula jadi persekitaran.
KEHIJAUAN teh tehan menambahkan elemen semula jadi persekitaran.

Salam deko. Minggu lalu saya sudah berbicara berkenaan tumbuhan yang boleh dijadikan hiasan pagar rumah atau halaman iaitu pokok jenjarum. Jadi minggu ini pula masih dalam topik yang sama tapi tanaman berbeza. Jika pokok jenjarum tampil dengan bunga-bungaan pelbagai warna, halaman juga turut menarik apabila dihiasi pokok tidak berbunga sebagai hiasan pagar. Ini kerana pagar halaman dengan tanaman ini tahan lasak.

Pagar halaman dengan tanaman tetap menjadi pilihan walaupun memerlukan sedikit perhatian. Bagaimanapun, anda yang sentiasa sibuk terutama masyarakat bandar tentunya mengambil kira pelbagai aspek untuk menanam pokok pagaran kerana kurang kelapangan masa. Namun hari ini masyarakat bandar juga turut mengindahkan laman dengan pokok pagaran ini walaupun dipasang pagar daripada pelbagai material. Masing-masing dilihat lebih kreatif dalam menyerlahkan keindahan semula jadi.

Begitu juga suasananya di kampung apabila pokok pagaran masih menjadi pilihan utama sebagai penganti pagar kayu atau besi di kediaman masing-masing. Sama juga dengan persekitaran kediaman di negara Barat yang selalunya menghiasi kediaman mewah berlatarkan pokok pagaran. Selain jenjarum, teh tehan antara pilihan utama. Nampak seperti pokok teh kerana ia tergolong dalam keluarga yang sama.

Tanaman ini juga apabila dipangkas boleh tampil dengan pelbagai bentuk termasuk empat segi dan bulat. Ia menjadi pokok pagaran pilihan kerana ranting dan daunnya tumbuh rapat serta padat. Dari segi penjagaan pula tanaman ini perlu disiram secukupnya setiap hari dan peka dengan tumbesarannya kerana ada bahagian yang perlu dipangkas jika perlu.

Selain boleh dijadikan sebagai pokok pagaran, ia dikatakan mempunyai khasiat lain termasuk membantu menyembuhkan penyakit. Pada masa sama, teh tehan yang berada dalam keluarga euphorbiaceae ini juga dipercayai mempunyai bahan antibakteria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 11:50 AM