AHMAD Zamry menunjukkan lokasi penemuan mayat wanita warga emas di Kampung Baru Kongsai. FOTO Ahmad Ismail
AHMAD Zamry menunjukkan lokasi penemuan mayat wanita warga emas di Kampung Baru Kongsai. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: Dua warga emas ditemukan lemas dalam bilik utama kediaman keluarga masing-masing di Jalan Kongsai, Kampung Baru Chaah, dekat sini, hari ini.

Dua warga emas itu dipercayai berusaha menyelamatkan diri hingga saat akhir, berdasarkan keadaan mayat namun gagal.

Kedua-duanya menetap berseorangan dipercayai lemas dalam banjir yang melanda kediaman semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, mangsa adalah wanita dan lelaki masing-masing berusia 70-an.

Beliau berkata, mangsa wanita ditemukan pada jam 9 pagi manakala mayat lelaki dijumpai jam 11 pagi di tempat kejadian.

"Berita kehilangan dua warga emas itu dilaporkan keluarga jam 8 pagi tadi selepas mereka gagal dihubungi," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, hari ini.

Ahmad Zamry berkata, mayat dua warga emas itu dihantar ke Hospital Segamat untuk proses bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan buat masa ini, punca kejadian dalam siasatan.

"Kedua-dua keluarga mangsa akan dipanggil bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan terus kepada IPD Segamat di talian 07-9312222.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 6:28 PM