ANGGOTA bomba tiba di lokasi kejadian. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba tiba di lokasi kejadian. FOTO ihsan bomba
Ahmad Ismail


Segamat: Warga emas meninggal dunia selepas terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Jalan Bukit Pertama 5, Taman Bukit Pertama, Bukit Siput, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.05 pagi itu, Mustaffar Batin, 61, dipercayai terperangkap dalam bilik sebaik api marak.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Baru Segamat, Marzuki Ismail berkata, seramai 17 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru dan BBP Bandar Segamat ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

"Anggota terpaksa memecah pintu bilik bagi menyelamatkan mangsa di tingkat atas.

"Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kesan melecur 20 peratus di badan, tangan, muka dan kaki," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebakaran membabitkan bilik tidur dengan anggaran kemusnahan 30 peratus.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.

"Mayat dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 10:55 AM