KEADAAN jalan Kampung Maran yang menyebabkan kereta Mohamad Shah dihanyutkan arus deras. FOTO Alam Flora Maran
KEADAAN jalan Kampung Maran yang menyebabkan kereta Mohamad Shah dihanyutkan arus deras. FOTO Alam Flora Maran
Asrol Awang

Kuantan: Dua sahabat berdepan detik cemas selepas kereta yang mereka naiki dihanyutkan arus deras di Jalan Kampung Jara, Maran, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.20 pagi itu, Mohamad Shah Bahanan, 42, dan Mohd Izuan Ismail, 30, yang bekerja sebagai pemandu Alam Flora Sdn Bhd Maran dalam perjalanan ke tempat kerja di Bandar Maran.

Mohamad Shah berkata, ketika kejadian dia bersama rakannya dari Felda Jengka 20, Maran dalam perjalanan ke tempat kerja.

Menurutnya, dia tidak menyedari ada air di atas jalan sebelum mendapati kereta dinaiki mereka dihanyutkan arus deras.

"Dalam keadaan panik saya bersyukur dan berterima kasih kepada Izuan kerana berjaya menarik saya keluar.

"Jika tidak, saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada saya jika tidak sempat keluar," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, kebiasaannya dia akan melalui jalan lain sama ada jalan Felda Jengka 2 dan 3.

Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan gelap dan hujan, dia terlepas simpang jalan sebelum membuat keputusan meneruskan perjalanan melalui jalan Kampung Jara.

"Dalam kejadian ini, saya reda dengan apa yang berlaku kerana masih selamat walaupun terpaksa menanggung kerugian selepas kereta gagal diselamatkan.

"Ia adalah ujian yang perlu dilalui dan perlu reda. Namun, saya bersyukur kerana Allah SWT masih memanjangkan umur kami," kata bapa tiga anak itu.

Sementara itu, Eksekutif Operasi Alam Flora Maran, Ahmad Irsyad Shafiq Mohamed bersyukur kerana dua pemandu syarikat terbabit selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 2:32 PM