GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Hujan lebat sejak kelmarin menyebabkan satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Maran.

Pembukaan PPS Balai Raya Kg Jara, Kuala Sentul di Maran itu membabitkan 32 mangsa daripada lapan keluarga dari Kampung Jara.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dalam kenyataan hari ini memaklumkan hujan lebat mengakibatkan Sungai Ulu Jempol melimpah berhampiran Kampung Jara, menyebabkan sebahagian kawasan Kampung Jara dinaiki air semalam.

"Limpahan itu juga menyebabkan 11 rumah penduduk kampung terbabit ditenggelami air," katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa daerah di Pahang, hari ini.

Ia membabitkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin manakala amaran cuara waspada di Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera.

Dalam tempoh berkenaan, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 11:19 AM