DUA penuntut UiTM Jengka maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan kereta Toyota Camry di  Kilometer 22, Jalan Temerloh - Bandar Jengka, Sungai Nerek. FOTO Ihsan PDRM
DUA penuntut UiTM Jengka maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan kereta Toyota Camry di Kilometer 22, Jalan Temerloh - Bandar Jengka, Sungai Nerek. FOTO Ihsan PDRM
Shahrinnahar Latib


DUA penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka maut selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung dengan kereta Toyota Camry di Kilometer 22 Jalan Temerloh-Bandar Jengka, dekat Sungai Nerek, Maran, hari ini.

Dalam kejadian 12.35 tengah hari itu mangsa, Siti Najiha Azahar, 21, dari Taman Idaman, Kluang, Johor yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda mati di tempat kejadian akibat parah pada badan.

Rakannya yang membonceng motosikal itu, Aina Mardhiah Razmi, 21, dari Desa Mewah, Semenyih, Selangor pula meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah UiTM Jengka menghala ke Temerloh.

“Ketika sampai di tempat kejadian, motosikal berkenaan dipercayai memotong sebuah kenderaan lain.

“Bagaimanapun, mangsa gagal memintas kenderaan itu sebelum bertembung dengan Toyota Camry yang dipandu lelaki berusia 51 tahun dari arah bertentangan” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Norzamri berkata, pemandu Toyota Camry yang tinggal di FELDA Melati Jengka 11, Maran tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati ada serpihan komponen di laluan kereta Toyota Camry itu.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HOSHAS untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 8:38 PM