Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kes membabitkan hantaran kandungan lucah antara kesalahan tertinggi didakwa di mahkamah oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Timbalan Menteri dan Digital Teo Nie Ching berkata, daripada 115 kes yang didakwa di mahkamah, 108 kes sudah selesai dan dijatuhkan hukuman denda dengan nilai keseluruhan yang berjumlah RM1.04 juta dan tujuh kes lagi sedang dalam proses perbicaraan.

"Perincian 115 kes yang didakwa di mahkamah berdasarkan jenis hantaran adalah 46 kes membabitkan kandungan lucah, kandungan sumbang (3); kandungan palsu (18); kandungan jelik (45) dan tiga kes membabitkan kandungan mengancam.

"Dari sudut jenis hantaran, 2,825 aduan diterima membabitkan 1,631 aduan (58 peratus) kandungan lucah, 574 aduan (20 peratus) kandungan palsu, 546 aduan (19 peratus) adalah kandungan jelik dan baki 74 aduan (tiga peratus) membabitkan kandungan mengancam dan kandungan sumbang," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai statistik bilangan individu yang disiasat, didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia membabitkan hantaran atas talian lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya sejak 2009 sehingga kini mengikut tahun dan jenis hantaran.

Nie Ching berkata, 2,825 aduan diterima dan disiasat oleh SKMM berhubung kesalahan yang diperuntukkan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dari 2009 sehingga semalam.

"Daripada aduan yang diterima, sebanyak 108 kes masih dalam siasatan, 115 kes sudahdidakwa di mahkamah, 40 kes dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan yang berjumlah RM138,250.

"Selain itu, 84 kes dikeluarkan notis amaran dan 2,478 kes berstatus Tiada Tindakan Lanjut (NFA) atau Tiada Kesalahan Dizahirkan (NOD).

"Kes yang diklasifikasikan sebagai NFA dan NOD adalah disebabkan tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan suspek dengan kesalahan yang disiasat di bawah seksyen 233 Akta 588," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 2:13 PM