GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohamad Hussin

Kuala Lumpur: Kecenderungan golongan pelajar dan belia melayari laman web pornografi mendorong mereka terbabit dalam aktiviti seks akibat ketagihan melampau dan gagal mengawal nafsu.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) laman web lucah berada di kedudukan nombor satu paling tinggi yang disekat bermula awal tahun lalu hingga Oktober lalu.

Sepanjang tempoh itu SKMM menyekat 2,684 laman pornografi diikuti penipuan scam sebanyak 1,347 laman web.

Peningkatan sekatan itu secara tidak langsung menggambarkan ketagihan melayari laman web pornografi sangat serius dan harus dibendung dengan segera.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata, melayari laman web pornografi mendatangkan kesan negatif kepada semua peringkat usia tidak kira orang dewasa, remaja atau kanak-kanak.

Beliau berkata, laman web pornografi boleh dikawal dengan sekatan akses dan menguatkuasakan undang-undang.

“Bagi mengekang aktiviti yang tidak bermoral ini daripada terus menular, kerajaan mengambil langkah antaranya dengan menyekat akses ke laman porno dan mengadakan promosi untuk menyekat akses.

“Kami turut bekerjasama dengan pembekal Internet untuk menyediakan firewall bagi menyekat akses.

“Sejak 2015 hingga Oktober lalu, sekatan terhadap 4,318 laman pornografi sudah dilaksanakan dan dari jumlah itu, sebanyak 399 laman adalah berunsur pornografi kanak-kanak,” katanya, di sini, semalam.

Eddin Syazlee berkata, melalui penguatkuasaan pula, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) terhadap pihak yang menyalahgunakan Internet.

“Ia termasuk menyimpan dan menyebarkan kandungan yang berbentuk sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik.

“Kementerian juga mengambil tindakan seperti mengeluarkan notis bagi menurunkan kandungan, laporan penyalahgunaan kepada penyedia atau pentadbir platform laman web atau media sosial dan menyekat akses kepada laman web berkenaan.

“Selain aspek penguatkuasaan, kerajaan juga menekankan aspek berbentuk pendidikan dan kesedaran bagi memupuk budaya pengguna Internet secara bijak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 9:31 AM