Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali hari ini, menafikan dakwaan dia tidak membawa remaja perempuan Sindrom Down dikenali Bella ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Siti Bainun, 31, ketika sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Sesyen berkata, seperti ibu lain pastinya akan melakukan yang terbaik untuk anak jagaanya termasuk membawa mereka ke klinik sekiranya sakit.

Berikut sesi pemeriksaan balas antara Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad dan Siti Bainun.

Nor Azizah: Semasa di peringkat pendakwaan, kamu beritahu Bella dibawa ke klinik Setapak sahaja, itu pun tak jumpa doktor.

Siti Bainun: Tidak setuju.

Nor Azizah: Kamu juga tidak memberitahu pihak polis kamu membawa Bella ke klinik atau hospital.

Siti Bainun: Tak setuju.

Nor Azizah: Sebab kalau kamu beritahu bawa Bella ke klinik atau hospital kepada pegawai penyiasat sudah tentu mereka akan menyiasat pegawai perubatan ini terlebih dahulu.

Siti Bainun: Tak setuju.

Nor Azizah: Saya katakan cerita bawa Bella ke klinik adalah rekaan semata-mata.

Siti Bainun: Tak setuju.

Pada prosiding perbicaraan kes bela diri sebelum ini, Siti Bainun memberitahu membawa Bella ke Klinik Setapak dan Surgeri berhampiran rumahnya bagi mendapatkan rawatan susulan serta bertemu dengan seorang doktor.

Dia berkata, doktor memaklumkan kepadanya bahawa luka Bella semakin mengering dan memberikan antibiotik bagi mengelakkan jangkitan serta krim untuk disapu pada luka remaja perempuan itu.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Dia berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 5:42 PM
Siti Bainun Ahd Razali hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Siti Bainun Ahd Razali hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI