Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Rakan kepada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, bahawa dia tidak pernah melihat wanita itu mendera remaja Sindrom Down dikenali Bella.

Saksi pembelaan ketiga, Noor Marliana Ramlee, 28, berkata kejadian itu tidak pernah berlaku sepanjang dia bersama anak lelakinya yang dipanggil Aryan menetap di Kondominium Irama Wangsa di Wangsa Maju, sejak 2020.

Semasa sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad bahawa kecederaan dialami Bella akibat perbuatan Siti Bainun, Noor Marliana menjawab tidak setuju.

Nor Azizah: Saya katakan apa yang berlaku di Kondominium Irama Wangsa kamu tahu.

Noor Marliana: Tidak semua.

Nor Azizah: Saya cadangkan kamu nampak kejadian Siti Bainun simbah air panas kepada Bella.

Noor Marliana: Tidak setuju.

Nor Azizah: Saya cadangkan kamu tahu dan lihat Siti Bainun pernah gunakan picagari, cawan Ikea dan Starbucks untuk simbah air panas kepada Bella.

Noor Marliana: Tidak setuju.

Nor Azizah: Saya cadangkan cawan ini (saksi dirujuk gambar barang kes) digunakan Siti Bainun untuk simbah air panas kepada Bella.

Noor Marliana: Tidak setuju.

Nor Azizah: Saya cadangkan juga kamu tahu Siti Bainun ambil air panas dari mesin Cuckoo untuk simbah kepada Bella.

Noor Marliana: Tidak setuju.

Nor Azizah: Saya cadangkan juga kamu tahu Siti Bainun arahkan Yasmin untuk mandikan Bella di tandas dengan air panas dari water heater (pemanas air).

Noor Marliana: Tidak setuju.

Nor Azizah: Kamu tahu dan lihat Siti Bainun tonyoh cili di mata Bella.

Noor Marliana: Tidak setuju.

Nor Azizah: Saya cadangkan kamu tahu dan lihat Siti Bainun beri makan cili kepada Bella.

Noor Marliana: Tidak setuju.

Nor Azizah: Kamu tahu dan lihat Siti Bainun beri sisa makanan yang tidak elok kepada Bella.

Noor Marliana: Tidak setuju.

Perbicaraan kes dijalankan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung petang ini.

Siti Bainun diarah membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 2:33 PM
SITI Bainun (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella berusia 13 tahun. FOTO BERNAMA
SITI Bainun (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella berusia 13 tahun. FOTO BERNAMA