Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Polis Kelantan merampas dadah jenis ketamin bernilai RM1.4 juta menerusi sekatan jalan raya yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kampung Laloh, Kuala Krai, kelmarin.

Polis turut menahan empat lelaki berusia 16 hingga 30 tahun termasuk seorang pelajar sekolah menerusi serbuan berasingan sejak kelmarin sehingga semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pada 8 pagi kelmarin, sepasukan penguatkuasa JPJ mengadakan sekatan jalan raya di lokasi berkenaan.

"Pihak JPJ mendapati sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan apabila berhenti secara mengejut sekitar 200 meter daripada sekatan jalan raya sebelum dua lelaki melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan terhadap kereta berkenaan menemui bungkusan putih yang diletakkan dalam but kereta disyaki dadah.

"Pihak JPJ kemudiannya memaklumkan kepada polis Kuala Krai dan kita mendapati dua guni putih dan satu beg pakaian beroda yang didalamnya terdapat debu putih iaitu dadah jenis ketamin seberat 25.5 kilogram dengan anggaran nilai RM1.4 juta," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

MUHAMAD Zaki (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan dadah jenis ketamin bernilai RM1.4 juta. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Zaki (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan dadah jenis ketamin bernilai RM1.4 juta. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Muhamad Zaki berkata, susulan rampasan berkenaan pihaknya melakukan empat serbuan di Pasir Mas sejak kelmarin sehingga semalam.

"Hasil serbuan berkenaan kita berjaya menahan empat lelaki berusia 16 hingga 30 tahun termasuk seorang pelajar.

"Kita percaya bekalan dadah ini dibawa dari negara jiran dan dalam perjalanan untuk di bawa ke Lembah Klang.

"Siasatan lanjut masih dilakukan berhubung peranan keempat-empat suspek berkenaan memandangkan kebanyakannya masih muda. Malah, kereta yang digunakan juga adalah kereta yang disewa," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan mereka direman sehingga Sabtu ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kenderaan Perodua Myvi turut disita untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 1:12 PM