Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Cubaan penyeludup menyembunyikan 300 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM10.8 juta dalam paket milik syarikat kurier di negara jiran gagal apabila kegiatan mereka dikesan polis.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kesemua dadah itu dirampas di dalam sebuah kereta Proton Exora berwarna Silver dalam kejadian di Kampung Batu Balai, Kuala Krai, jam 7.15 pagi tadi.

Katanya, ketika kejadian anggota bertugas sedang membuat rondaan sebelum terserempak kereta terbabit yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari Sungai Durian, Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

"Anggota mengikuti kenderaan terbabit sebelum pemandu lelaki bertindak memecut dan berhenti meninggalkan kenderaan sebelum melarikan di ke kawasan kebun getah berhampiran.

"Cubaan untuk mengesan suspek tidak berjaya namun hasil pemeriksaan didalam kenderaan mendapati terdapat beberapa guni mengandungi bungkusan berlogo syarikat kurier yang mana didalamnya berisi dadah jenis syabu.

"Kenderaan dan barangan dirampas manakala kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, mengikut kepada jumlah rampasan itu, dadah berkenaan boleh digunakan kepada seramai 3,000 penagih dan disyaki untuk pasaran luar Kelantan

"Kita mengesan penyeludup menggunakan modus operandi membungkus dadah dengan bungkusan kurier supaya dapat mengaburi mata pihak berkuasa.

"Selain itu, hasil siasatan juga mendapati kenderaan yang digunakan adalah kereta sewa, tetapi suspek sudah dikenal pasti dan usaha untuk menangkap individu terbabit sedang dijalankan.

"Pelbagai modus operandi serta strategi baru digunakan penyeludup atau pengedar dadah, tetapi pihak kami sentiasa peka agar dapat membateras sehabis baik jenayah penyalah gunaan dadah di Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 5:44 PM