FAHMI berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 di Menara CelcomDigi hari ini. FOTO Bernama.
FAHMI berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 di Menara CelcomDigi hari ini. FOTO Bernama.
Essa Abu Yamin

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang berusaha untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709) bagi keselamatan membendung ketirisan data.

Menterinya Fahmi Fadzil, berkata perkara itu bukan hanya untuk memperkukuhkan akta berkenaan saja, tetapi juga untuk memastikan bahawa semua organisasi yang mengendalikan data bertanggungjawab ke atas keselamatan data pengguna.

"Bagi transaksi komersil atau pin keselamatan perlu faham bahawa sekiranya mereka culas atau gagal melindunginya, maka kegagalan itu perlu menghadapi penalti yang serius.

"Ketika ini seakan-akan tidak ada rasa segan silu jika berlaku ketirisan data, malah sekiranya dibuat penafian tidak ada pengesahan bahawa penafian itu benar ataupun tidak.

"Jadi undang-undang dari segi itu kita sedang usaha untuk perketat dan ia sangat penting," katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023, di sini hari ini.

Menurutnya, untuk aspek keselamatan siber pula sekiranya mahu memastikan data selamat, maka prasarana siber berkenaan perlu dipastikan keselamatannya terjamin.

"Setakat ini peranan CyberSecurity Malaysia (CSM) sangat berkesan, tetapi pada masa sama perlu lihat ada keperluan agensi itu diberi lebih kuasa atau mendapat kerjasama lebih erat daripada semua pihak tidak kira awam atau swasta.

"Ini supaya satu aspek audit keselamatan siber dapat dilakukan," katanya.

Sementara itu, mengenai Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023, beliau berkata,

program berkenaan dilaksanakan sempena sambutan Hari Keselamatan Internet (Safer Internet Day - SID) 2023.

"Ia bertujuan memberi pendidikan dan kesedaran kepada pengguna tentang kaedah mengenali panggilan scam, tatacara serta modus operandi scam yang terkini serta berkongsi tips dan panduan bagi menghindari daripada menjadi mangsa scam atau ancaman siber yang lain.

"Kerajaan komited meningkatkan kesedaran rakyat dengan memberi pendidikan serta maklumat mengenai jenayah scam," katanya.

Justeru, pihaknya menggesa masyarakat untuk bersikap proaktif dan mengambil inisiatif melengkapkan diri dengan ilmu serta maklumat mengenai keselamatan siber.

Katanya, semua pihak harus bina sikap kawal kendiri bagi membolehkan masyarakat bijak menilai sesuatu perkara sebelum bertindak selain dapat bersama-sama membina komuniti Siber Madani dalam persekitaran siber yang sejahtera.

Selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, siri jelajah berkenaan akan diteruskan di Perlis, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 6:03 PM