FADILLAH (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ahli Gabungan Bertindak Anti-Scam (GBAS) dari ABIM, Mohammad Fazril Mohd Saleh semasa Penutup Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 hari ini. Turut hadir, Fahmi Fadzil (dua dari kiri). FOTO Bernama
FADILLAH (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ahli Gabungan Bertindak Anti-Scam (GBAS) dari ABIM, Mohammad Fazril Mohd Saleh semasa Penutup Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 hari ini. Turut hadir, Fahmi Fadzil (dua dari kiri). FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan penyedia platform Meta minggu depan berhubung isu akaun WhatsApp yang diambil alih penjenayah 'scammer'.

Beliau yang menyifatkan isu penipuan itu sebagai satu trend yang membimbangkan berkata secara peribadi beliau sendiri telah menerima aduan daripada beberapa individu mengenai akaun WhatsApp mereka 'dicuri' oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Susulan aduan itu, CyberSecurity Malaysia telah mengeluarkan satu amaran mengenai bahaya akaun WhatsApp diambil alih oleh penjenayah," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 peringkat Putrajaya oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini hari ini.

"Pertemuan akan diadakan dengan pihak Meta yang mengendalikan WhatsApp untuk memahami apakah aspek keselamatan yang ada pada waktu ini kurang cukup dan dapat dieksploitasi oleh penjenayah," katanya, dan menambah insiden pengambilan akaun sebelum ini berlaku pada aplikasi Telegram.

Fahmi berkata mulai tahun depan CyberSecurity akan merancakkan program Jelajah Anti-Scam sebagai usaha meningkatkan kesedaran orang awam tentang isu keselamatan siber dan langkah pencegahan, agar orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian.

"Bila kerajaan berupaya untuk mengekang satu bentuk scam maka para scammer ini sangat lincah dan berubah ke scam yang berbeza.

" Jadi perlu tingkat pemahaman dan kesedaran dari semasa ke semasa tentang bentuk scam yang baharu," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Fahmi berkata Pusat Tindakbalas Insiden Siber Cyber999 di bawah pengurusan CyberSecurity merekodkan penipuan dalam talian sebagai insiden keselamatan siber yang tertinggi dilaporkan.

"Daripada 5,480 kes insiden yang diterima pada Januari hingga November lalu, 3,447 kes insiden atau 63 peratus berkaitan penipuan dalam talian," katanya.

Seperti negara-negara lain, katanya Malaysia juga tidak terkecuali daripada menghadapi ancaman dan serangan siber.

"Walaupun pelbagai langkah telah diambil, namun masih tidak dapat menjamin 100 peratus keselamatan atau bebas sepenuhnya daripada ancaman dan serangan siber," katanya.

Justeru, katanya Program Jelajah Anti-Scam diadakan sepanjang tahun merupakan satu inisiatif untuk memberi informasi dan maklumat bagi mendidik serta memupuk kesedaran orang ramai tentang jenayah kewangan dan scam.

Program Jelajah Anti-Scam, yang diterajui oleh CyberSecurity selaku agensi pakar dan teknikal keselamatan siber yang juga agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), meliputi seminar, forum dan dialog yang melibatkan pakar-pakar keselamatan siber.

Penganjuran program Jelajah Anti-Scam 2023 peringkat Putrajaya merupakan edisi terakhir siri penjelajahan bagi tahun ini selepas diadakan di beberapa negeri antaranya Selangor dan Kuala Lumpur, Perlis, Sarawak, Sabah serta Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 9:12 PM