Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 71,833 kes jenayah komersial yang disiasat membabitkan jumlah kerugian lebih RM5.2 bilion sepanjang 2020 hingga Mei lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sebanyak 48,850 kes atau 68 peratus daripada jumlah terbabit adalah jenayah komersial yang membabitkan penipuan dalam talian.

"Aspek kesedaran kepada orang ramai tentang modus operandi (MO) terkini sindiket 'scam' adalah usaha berterusan PDRM dalam mengelakkan lebih ramai orang menjadi mangsa.

"Kerugian yang dialami bukan sahaja memberi impak negatif ke atas ekonomi negara malah boleh menjadi pencetus kepada masalah sosial secara umumnya," katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Anti Scam PDRM 2022 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, bagi kes 'Love Scam', ia mencatatkan penurunan daripada 1,580 kes pada 2020 menurun kepada 1,460 kes pada 2021 dan sebanyak 361 kes pada tahun ini setakat bulan lalu.

"Bagi kes 'Macau Scam' pula, sebanyak 2,254 kes yang direkodkan pada 2020 mencatatkan penurunan kepada 1,586 kes pada 2021 dan meningkat kepada 1,612 kes setakat Mei pada tahun ini.

"Kes penipuan pembelian e-dagang juga mencatatkan peningkatan daripada 8,851 kes pada 2020 meningkat kepada 9,569 pada tahun lalu dan setakat Mei ini, sebanyak 3,833 kes direkodkan," katanya.

ACRYL Sani (tengah) ketika lawatan gerai pada Majlis Perasmian Kempen Anti-Scam PDRM. FOTO Bernama
ACRYL Sani (tengah) ketika lawatan gerai pada Majlis Perasmian Kempen Anti-Scam PDRM. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 8:15 PM