Mohd Roji Kawi

Kuching: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, Sarawak tidak akan menggunakan mata wang sendiri sebaliknya akan tetap menggunakan Ringgit Malaysia (RM).

Beliau berkata, isu penggunaan mata wang sendiri yang dibayangkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi itu sekadar pandangan peribadi.

Menurutnya, penggunaan mata wang sendiri di Sarawak adalah isu yang cukup rumit dan perlu penelitian khusus.

"Tak tahulah, itu sekadar pandangan peribadi Nanta. Kita sudah ada mata wang Malaysia, jadi kita kena ikutlah (gunakan mata wang Malaysia)," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

ABANG Johari selepas merasmikan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari selepas merasmikan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023. FOTO Nadim Bokhari

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nanta yang membayangkan kemungkinan Sarawak bakal memperkenalkan mata wang sendiri susulan ekonomi yang tidak menentu di Malaysia.

Ahli Parlimen Kapit yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu membayangkan perkara itu dalam siaran podcast bertajuk 'Dari Malaya ke Malaysia: 60 tahun' semalam.

Memetik laporan portal Free Malaysia Today (FMT), Nanta berkata, pengenalan mata wang Sarawak antara langkah boleh dipertimbangkan sekiranya keadaan ekonomi negara dalam keadaan kurang memberangsangkan ini berterusan.

Menurutnya, jika ekonomi Sarawak begitu baik namun ekonomi negara sebaliknya, mungkin Sarawak akan mempunyai mata wang sendiri.

Namun, beliau berharap orang ramai tidak menggelarnya pengkhianat negara kerana beliau bercakap dengan serius berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 1:27 PM