FAHMI berucap pada majlis perasmian Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di Auditorium Muzium Kebudayaan Borneo. FOTO BERNAMA
FAHMI berucap pada majlis perasmian Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di Auditorium Muzium Kebudayaan Borneo. FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi

Kuching: Orang ramai perlu mengubah sikap dengan tidak mudah panik apabila menerima panggilan telefon atau sebarang maklumat menerusi media sosial yang dihantar individu tidak dikenali.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, penjenayah siber atau scammer kini

semakin licik dalam menjalankan kegiatan apabila mengambil peluang atas kemajuan teknologi untuk memperdaya mangsa.

Justeru katanya, orang ramai perlu lebih berwaspada dengan tidak mudah mempercayai sesuatu maklumat yang mencurigakan.

"Tidak apa jika kita lebih skeptikal dengan setiap maklumat yang diterima.

"Hanya langkah berhati-hati itulah cara terbaik untuk mengelak menjadi mangsa penipuan dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Jelajah Anti-Sam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak yang disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Auditorium Muzium Kebudayaan Borneo, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia , Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Dan Digital Malaysia (KKD), Datuk Mohammad Fauzi Md Isa.

Fahmi berkata, jelajah anti-scam itu diharap memberikan kesedaran menjadi satu pengajaran kepada orang ramai supaya lebih berwaspada kerana penjenayah siber sentiasa mencari peluang untuk memperdayakan mangsa.

"Evolusi teknologi digital yang berkembang pesat membawa banyak faedah dan manfaat kepada semua, namun, penggunaan dan kebergantungan dengan teknologi turut mendedahkan kita semua kepada pelbagai risiko ancaman dan serangan siber.

"Walaupun pelbagai langkah diambil kerajaan untuk menanganinya, ia masih tidak dapat menjamin 100 peratus keselamatan semasa menggunakan teknologi dan internet, justeru langkah terbaik ialah setiap individu hari sentiasa berhati-hati," katanya.

Menurutnya lagi, bagi mengekang jenayah scam dan penipuan dalam talian, kerajaan menubuhkan Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) Oktober lalu sebagai pusat panggilan yang terima panggilan serta menyekat pengaliran wang mangsa.

"Sejak pengoperasian NSRC, kita berjaya mengekang pengaliran lebih RM30 juta wang mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 1:29 PM